Di persada antarabangsa, nama Malaysia sebenarnya bukan hanya gah dalam aspek politik, sukan atau hiburan, sebaliknya negara turut tidak ketandusan bakat dalam dunia makanan dan minuman (F&B).
Selepas menempa nama sebagai 100 pembuat piza terbaik dunia, Mohd Faridul Iman Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai Jofliam sekali lagi melangkah ke luar negara membawa misi mengharumkan nama Malaysia.
![Jofliam sebelum ini menempa nama sebagai 100 pembuat piza terbaik dunia. – Gambar Instagram](https://media.getaran.my/images/uploads/covers/_extra-large/jofliam_instagram.jpg)
Kali ini, personaliti dan pempengaruh popular itu membawa pasukannya bertanding pada Kejohanan Seni Latte Dunia di Copenhagen, Denmark.
Lebih membanggakan, pemergian mereka ditanggung sepenuhnya oleh Jofliam, malah beliau turut membawa keluarganya ke Denmark bagi memberi sokongan.
Pada pusingan pertama yang berlangsung pada jam 3 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) semalam, wakil Malaysia, Ryan Liew menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya melangkah ke separuh akhir.
Beliau akan bersaing dengan 11 lagi peserta dari pelbagai negara bagi menempah tiket ke peringkat akhir untuk merebut gelaran juara.
Kejohanan Seni Latte Dunia berlangsung selama tiga hari bermula 27 Jun (semalam) sehingga esok (29 Jun).
Penganjur, World of Coffee Copenhagen (WCC) berkata, pertandingan tersebut berjaya mengumpulkan lebih daripada 80 peserta seluruh dunia yang akan bersaing untuk merebut kejuaraan dalam pelbagai kategori dipertandingkan.
Pertandingan separuh akhir untuk menentukan pemenang dalam Kejohanan Seni Latte Dunia akan berlangsung pada jam 11 pagi waktu tempatan hari ini atau 5.30 petang waktu Malaysia.
![Ryan Liew - Gambar Instagram](https://media.getaran.my/images/uploads/covers/_extra-large/Ryan_Liew_-_Gambar_Instagram.jpeg)
Ini merupakan kali kedua Liew bertanding di pentas antarabangsa.
Tahun lalu, Liew menduduki tempat keempat dalam pertandingan sama yang diadakan di Taipei, Taiwan. - Getaran, 28 Jun 2024