ALOR SETAR - Tindakan PAS berulang kali menafikan sesuatu perkara benar menjadikan parti itu tidak boleh dipercayai, termasuk dalam isu baharu berhubung dokumen PASLeak yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau juga ketika berada dalam parti itu terpaksa membuat permohonan maaf secara terbuka kerana tanpa sengaja berbohong kepada rakyat berkaitan isu kerajaan perpaduan (UG).
Menurutnya, ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau pernah bertanyakan kepada pimpinan PAS mengenai isu UG.
“Berkali-kali saya kemukakan soalan sama ada betul atau tidak dakwaan yang heboh di luar menyatakan ada perbincangan berkaitan UG? Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas dan Pengerusi mesyuarat menafikannya.
“Jadi saya sebagai Ketua Penerangan, diminta membuat kenyataan menafikan segala gembar-gembur menyatakan ada UG dengan kepimpinan Abdullah ketika itu.
“Tetapi akhirnya Abdullah sendiri membocorkan rahsia pertemuan dalam kalangan mereka, hingga akhirnya saya terpaksa membuat permohonan maaf kepada rakyat kerana berbohong dengan menyatakan tiada pertemuan antara pimpinan PAS dan Abdullah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berbuka puasa bersama wartawan dan jurugambar media Kedah di sebuah hotel di sini, semalam.
Sebelum ini beberapa pimpinan PAS menafikan kesahihan dokumen tersebut, malah Naib Presidennya yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkannya sebagai sampah.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menambah, situasi serupa dapat dilihat ketika tularnya audio yang dikatakan mirip suara Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkaitan isu penerimaan dana dari UMNO beberapa tahun lalu.
“Apabila tular audio itu, semua orang menafikan, tetapi akhirnya Nik Mohamad Abduh secara jujur akui bahawa itu memang suara dia.
“Jadi macam itu jugalah dalam konteks PASLeak ini. Mereka boleh nafi tetapi tindakan menafikan kebenaran ini bukan satu benda baharu kerana mereka sentiasa bertindak demikian, seolah-olah ‘ahlul nafi’,” katanya.
Sementara itu, Mahfuz mempersoalkan tindakan PAS dalam membuat penafian itu yang dilihat tidak bersungguh-sungguh berbanding isu lain yang pernah melingkari mereka sebelum ini.
“Mereka menafikan itu macam sekadar melepaskan batuk di tangga sebab kalau betul ada orang lain yang buat dokumen berkenaan, mereka boleh buat laporan polis.
“Boleh saja mereka kerah Pemuda PAS di seluruh negara buat laporan polis seperti dalam isu lain sebelum ini. Tetapi dalam hal ini, nampak seolah-olah tak ada kesungguhan atau kerana letih berpuasa, tak boleh nak buat laporan polis?,” katanya sinis. - Getaran 26 April 2022.