KUCHING - Kes COVID-19 di Sarawak mencatatkan peningkatan sebanyak 224 peratus bermula sejak permulaan Ogos tahun ini, berbanding tempoh sama bulan lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, 35,517 kes dikesan sejak awal Ogos.
Menurut beliau, Sarawak merekodkan 2,522 jangkitan baharu hari ini, menjadikan kumulatif kes sebanyak 112,245.
“Ini adalah hari ke-12 berturut-turut negeri itu mencatatkan bilangan kes harian melebihi angka seribu, bermula 18 Ogos lalu.
“Seperti yang dilaporkan oleh Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) semalam, sebanyak 178 kes varian Delta baharu telah dikesan iaitu setinggi 83 peratus,” katanya di sini.
Dr Mohamed Sapian berkata, pihaknya mengesan kewujudan varian Delta di 10 bahagian di Sarawak, dengan Kuching mencatatkan kadar setinggi 99 peratus.
“Kebolehjangkitan varian Delta yang tinggi iaitu lima sehingga lapan kali ganda berbanding varian SARS-CoV lain menjadikan ia faktor utama peningkatan kes di Sarawak, khususnya di Zon Selatan.
“Varian Delta berpotensi untuk merebak dengan cepat terutama jika individu tidak memakai pelitup muka, mengingkari peraturan penjarakan fizikal dan mengabaikan amalan kebersihan diri,” katanya.
Beliau menarik perhatian, walaupun suntikan imunisasi berkesan mengurangkan tahap jangkitan, 30 peratus kes harian di negeri itu berlaku ke atas individu berusia 18 tahun ke bawah, yang belum layak menerima vaksin COVID-19.
“Masyarakat di Sarawak amat bertuah kerana liputan imunisasi COVID-19 telah mencapai 90.9 peratus bagi dos pertama dan 87.9 peratus bagi dos kedua setakat 28 Ogos.
“Daripada jumlah kes baharu yang dikesan sepanjang Ogos, sebanyak 99 peratus kes berada pada tahap klinikal kategori satu (tiada gejala) dan kategori dua (mempunyai gejala yang ringan),” katanya.
Mengulas lanjut Dr Mohamed Sapian berkata, penggunaan katil bagi kes kritikal menunjukkan peningkatan bulan ini, namun masih berada di bawah kawalan.
“Sebanyak 45 buah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) telah dibuka di seluruh Sarawak, terdiri daripada 41 PKRC Awam (berkapasiti 7,465 buah katil) dan empat PKRC Tahanan (1,072 buah katil).
“Seramai 781 petugas kesihatan telah digerakkan, dengan enam PKRC Awam dijangka beroperasi semula manakala empat PKRC Awam baharu hanya akan digunakan sekiranya kes semakin meningkat,” katanya. - Getaran, 29 Ogos 2021