KUALA LUMPUR - Pelantikan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan, menarik perhatian ramai memandangkan beliau tidak memiliki kelulusan kedoktoran untuk menerajui kementerian yang berperanan utama dalam menangani pandemik COVID-19.
Namun, melihat prestasi baik Khairy sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), ramai berharap keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantik beliau sebagai tampuk Kementerian Kesihatan (KKM), mampu memberi nafas baharu dan menyediakan laluan keluar kepada semua usaha negara.
Justeru bagi memastikan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu mampu menampilkan hasil kerja baik terutama dalam tempoh 100 hari pentadbirannya, pakar bidang kesihatan berpendapat beliau perlu melaksanakan pendekatan berfokus dan bersesuaian keadaan semasa.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata empat perkara utama harus diberikan tumpuan untuk memastikan penularan COVID-19 mampu dibendung sebaik mungkin.
KKM katanya, perlu bersikap terbuka untuk menerima idea disalurkan semua pihak menerusi kewujudan jawatankuasa khas dianggotai pakar bidang.
“Mana tindakan salah sebelum ini kita perbetul dan perkasakan. Vaksin ditingkatkan. Tumpukan kepada usaha membendung COVID-19, ketepikan dahulu politik,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Dr Zainal Ariffin berkata, tumpuan juga harus diberikan kepada menyelesaikan isu dialami pegawai perubatan KKM, seperti masalah kakitangan tidak mencukupi dan petugas kontrak, termasuk doktor.
“Khairy perlu bersedia melakukan transformasi sistem kesihatan dan merancakkan kembali perancangan sudah dirangka KKM sejak dahulu, antaranya daripada segi kesihatan digital atau penjagaan kesihatan awal.
“Seterusnya, tumpu kepada isu mendesak atau tertunggak daripada merancang perkara baharu, contohnya akta tembakau, akta merokok, akta vape dan akta ubatan tradisional yang masih menunggu kelulusan polisi,” katanya.
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun pula berkata, kesan positif terhadap usaha membendung pandemik mampu diperoleh menerusi perbincangan bersama pakar bidang spesifik.
Beliau mengharapkan, Khairy tampil duduk semeja bersama pakar penyakit berjangkit dan pakar kesihatan pekerjaan kerana gabungan idea kedua-dua individu itu berupaya membantu menyelesaikan kesan penyebaran COVID-19.
Dr Hanafiah berkata, pakar penyakit berjangkit memiliki pengetahuan terperinci untuk membendung pandemik dan berkongsi tindakan bersesuaian bagi menyelamatkan ekonomi.
“Pakar kesihatan pekerjaan pula boleh mencadangkan cara mengurangkan masalah penularan kes di kilang dan tempat kerja memandangkan banyak kluster di tempat ini dilaporkan.
“Mungkin bagi suasana tempat kerja tertutup, mereka boleh melihat adakah sesuai untuk orang bekerja di situ ketika ini atau perlukah diletakkan exhaust fan dan berapa banyak harus dipasang,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan pihak tertentu supaya sekatan pergerakan penuh dilaksanakan, beliau berkata, tindakan itu tidak mampu menyelesaikan masalah dalam jangka masa panjang.
“Sekatan pergerakan penuh memberi kesan besar kepada sektor dan rakyat, malah ia hanyalah penyelesaian jangka masa pendek.
“Jadi bagi saya, kepakaran khas dan khusus daripada individu sesuai harus diperoleh,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat berkata, KKM seharusnya memberi fokus terhadap data tambahan mengenai situasi semasa COVID, seperti peratusan pesakit di kategori tiga, empat, lima dan unit rawatan rapi (ICU) serta kes kematian harian.
Katanya, fokus juga tidak sewajarnya dikhususkan kepada jumlah kes harian dan sepatutnya ditumpukan terhadap peratusan vaksinasi COVID-19 bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti negeri yang masih sedikit jumlah pemberian dos, sekali gus meningkatkan program imunisasi di situ.
Dr Halimatus Sakdiah berkata, KKM juga harus memperincikan data membabitkan jumlah pesakit yang disahkan bebas COVID-19, namun masih berdepan kesan sampingan virus itu dan golongan berisiko mengalami.
“Fokus kita bukan berapa kes baharu harian kerana pemberian vaksinasi bukan untuk mencegah jangkitan, sebaliknya mengurangkan kesan penyakit, sebab itu kita kena tumpu kategori serius sama ada berkurangan atau tidak,” katanya.
Beliau berkata, semua data kumulatif tersebut amat penting bagi membolehkan KKM dan semua pihak berkepentingan mengenal pasti strategi susulan terbaik untuk menangani COVID-19.
“Rakyat pun kena lebih cakna untuk bersama-sama membendung pandemik ini dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP), memahami semua tanda COVID-19, melakukan ujian saringan sekiranya bergejala, memantau tahap kesihatan apabila menjalani kuarantin di rumah dan mendapatkan konsultasi secara maya,” katanya. - Getaran, 31 Ogos 2021