SEREMBAN - Seumur hidupnya tidak pernah, hatta sekali pun, Kasni Otot, 70, dapat menikmati bekalan elektrik tanpa sebarang gangguan.
Inilah hakikat hidupnya yang turut dikongsi dengan 42 penduduk Kampung Orang Asli Bukit Gallah di lereng Bukit Kristal, di sini.
“Selang tiga hari. Habislah bekalan elektrik kami.
“Lepas tu kena turun ke pekan dan beli ‘minyak 2T’ (minyak pelincir) untuk diisi semula ke dalam generator,” jelas Kasni yang merupakan Tok Batin kepada kampung tersebut.
Ketika beliau ditemui Getaran di pondok nipahnya, isteri Kasni, Sicnar Jaafar, sedang bertungkus lumus menyalakan api dapur batunya menggunakan bungkusan mi segera yang dikutip daripada tong sampah untuk menjerang air.
Terpasang di dinding ruang tamu rumah Kasni pula adalah sebuah soket plug tambahan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis alat pengecas telefon pintar.
“Kesemua penduduk sini akan datang untuk mengecas telefon mereka di rumah saya,” seloroh Kasni dalam loghat Negeri Sembilan yang pekat.
Meskipun gaya hidup suku kaum mereka, Temuan Bukit, pada dahulu kala bersifat nomadik, perkampungan di Bukit Kristal itu hakikatnya telah wujud sejak tahun 1988.
“Saya sudah banyak kali turun naik berjumpa dengan pihak berkuasa untuk mohon supaya kampung ini digazetkan tetapi sampai sekarang tiada sebarang makluman,” keluh Kasni.
Mengikut undang-undang Malaysia, kemudahan asas seperti pencawang elektrik, jalan berturap dan bekalan air bersih hanya akan dibekalkan kepada kampung yang telah diwartakan.
“Pada mulanya Jabatan Orang Asli (kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)) kata kampung ini tidak mempunyai penduduk yang mencukupi, setakat dua keluarga sahaja tidak boleh.
“Sekarang dah ada 12 keluarga di sini, penduduk dah meningkat ke 42 orang. Anak, menantu, cucu dan cicit saya semua duduk di sini tapi sehingga kini bekalan air, elektrik dan jalan masih tidak diberi," keluhnya.
Menurut Kasni, pihak berkuasa menjadikan isu pewartaan kampung sebagai alasan untuk tidak menyalurkan kemudahan elektrik, kerana ia berada dalam tanah rizab Jabatan Perhutanan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa, perkampungan itu berada di dalam rizab penempatan Orang Asli dalam Hutan Simpan Gallah yang turut meliputi Bukit Kristal.
“Ini buktinya. Lot tanah nombor empat ini telah dirizabkan sebagai ‘Sakai Reserve’ semasa zaman pentadbiran British dahulu. Ia adalah terma yang digunakan untuk merujuk kepada tanah rizab penempatan Orang Asli,” tegasnya sambil menunjukan sehelai peta yang sudah kekuningan dan mempamerkan beberapa lot tanah di Hutan Simpan Gallah.
Berbeza dengan Hasni, menantunya, Haniza Rimba lebih gusar akan kesukaran untuk menyediakan keadaan pembelajaran kondusif untuk anak sulungnya yang berusia 10 tahun.
“Sebab tak ada elektrik, anak-anak nak belajar pun susah. Telefon selalu kena cas, kalau tidak anak saya tidak boleh mengikuti kelas dalam talian.
“Malam-malam kami pakai pelita sahaja. Tidur pun atas kotak. Belum mampu nak beli tilam,” katanya ketika ditemui di rumah pondoknya di kampung itu.
Dari segi bekalan air bersih pula, penduduk kampung bergantung sepenuhnya kepada air yang mengalir di celah-celah batu dari puncak bukit.
Seorang anak lelaki Kasni, dikenali sebagai Jon berkata, air yang terletak dalam hutan fi lereng Bukit Kristal itu digunakan orang kampung untuk minum dan mandi.
Kru Getaran yang meredah hutan untuk meninjau lokasi sumber air diberitahu, saliran air hanya wujud semasa musim hujan.
"Kalau kemarau, airnya akan meresap ke dalam tanah, jadi bila itu berlaku, orang kampung terpaksa keluar ke pekan untuk membeli air untuk kegunaan seharian.
“Dulu saliran ini besar lagi tapi sejak ada pembalakan beberapa tahun lepas, ianya semakin mengecil. Dulu ada satu syarikat buat projek di bahagian atas, mereka tebang banyak pokok, habis keruh air kami,” keluhnya. – Getaran, 9 Oktober 2021.