KUALA LUMPUR - Pengecualian bayaran Tol RAHMAH Percuma yang dilaksanakan sekali lagi hari ini, nyata membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat yang rata-rata mula bergerak pulang ke ibu negara, selepas bercuti sempena Aidilfitri.
Keprihatian kerajaan itu juga dapat mengurangkan kesesakan di lorong pembayaran tol, iaitu Touch n Go, SmartTAG dan Identifikasi Frekuansi Radio (RFID).
Menerusi perkongsian di media sosial, mereka meluahkan kesyukuran dan berterima kasih dengan inisiatif dilakukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dengan pemberian tol percuma pada hari ini, dapat saya kurangkan kos purata sekitar RM50 untuk perjalanan dari kampung di Alor Star (Kedah) ke rumah saya di Kuala Lumpur,” kata seorang warga maya, Syazmi Shahrir.
“Saya bersyukur walaupun ada selang sehari dan bukannya secara berterusan empat hari kita menikmati tol percuma, ia memang mengurangkan kos perjalanan,” tulis seorang netizen.
“Hari ini ramai akan pulang ke bandar, jadi pengecualian bayaran tol terbabit juga mampu mengelakkan kesesakan akibat isu tidak cukup baki kad pembayaran tol,” tegas Aqil Shah.
“Walaupun ramai keliru ingat tol percuma dari 19 sehingga hari ini, usaha dilaksanakan itu tetap boleh mengurangkan bebanan orang ramai yang bergerak pulang ke ibu kota,” ujar seorang pengguna.
Malah, ada netizen mengharapkan kerajaan dapat pertimbangkan pemberian tol percuma pada setiap kali perayaan utama.
“Permberian tol percuma seperti ini mudah untuk orang ramai membuat persediaan pergi dan pulang kampung,” komen Noah.
“Terima kasih kerajaan kerana prihatin untuk kurangkan kos perjalanan rakyat, tapi jika boleh dijadikan kelaziman pun bagus juga,” respon seorang pengguna lain.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, tawaran tol percuma itu diberikan selama tiga hari awal bermula 19 hingga 21 April lalu bersempena Aidilfitri, sebelum dilaksanakan sekali lagi hari ini.
Pada 18 April lalu, Perdana Menteri mengumumkan, Kerajaan Perpaduan memberi ‘hadiah istimewa’ kepada rakyat sempena Aidilfitri 2023, termasuk pengecualian bayaran tol selama empat hari kepada semua pengguna lebuh raya di seluruh negara.
Beliau berkata, pemberian tol percuma itu dilaksanakan bagi meringankan beban dan memberi kegembiraan kepada rakyat pada perayaan berkenaan.
“Pelaksanaan Tol RAHMAH Percuma melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.
“Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perjalanan balik,” katanya menerusi Perutusan Khas Sempena Perayaan Aidilfitri 2023, baru-baru ini. - Getaran, 24 April 2023.