KOTA KINABALU - Sekatan rentas daerah di Sabah diawalkan kepada Isnin depan berbanding 27 Mei seperti yang diumumkan kerajaan negeri sebelum ini.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, ia susulan daripada kes positif COVID-19 yang mencatatkan jumlah tiga angka sejak tiga hari lalu.
"Berdasarkan statistik sebanyak 160 kes direkodkan berlaku pada 19 Mei, 245 semalam (kelmarin) dan 144 hari ini (semalam).
"Justeru, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk mempercepatkan perlaksanaan sekatan rentas daerah bagi mengawal pergerakan dan jangkitan antara daerah kategori merah dan jingga dengan daerah zon hijau serta kuning," katanya kepada media, semalam.
Menurutnya, peraturan itu tertakhluk ke atas semua daerah di Sabah kecuali Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang diletakkan di bawah satu daerah.
Sebelum ini, Sabah yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan pergerakan rentas daerah mengikut zon, kecuali pada 12 hingga 16 Mei lalu.
Kerajaan Negeri kemudian memutuskan tidak membenarkan pergerakan rentas daerah sekali lagi bermula 27 Mei ini iaitu ketika hampir tiba kemuncak sambutan Hari Kaamatan, sebelum ia dipercepatkan kepada 24 Mei hingga 7 Jun depan.
Sehingga semalam, sebanyak sembilan daerah dikategorikan sebagai zon merah iaitu Kalabakan, Kota Kinabalu, Tawau, Kunak, Penampang, Sandakan, Lahad Datu, Papar dan Semporna, manakala Putatan dan Kinabatangan diletakkan sebagai zon jingga.
Tuaran, Kota Belud, Kuala Penyu, Beaufort, Kudat, Keningau, Kota Marudu, Ranau dan Tenom berada dalam zon kuning serta tujuh daerah lain iaitu Sipitang, Nabawan, Tambunan, Pitas, Beluran, Telupid dan Tongod dalam zon hijau selepas tiada kes positif COVID-19 dilaporkan berlaku.
Dalam pada itu, Masidi menjelaskan sebanyak 144 kes baharu positif COVID-19 dicatatkan di Sabah, semalam, namun, tiada kluster baharu direkodkan.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kampung Pagar Sungai Imam bermula 23 Mei (esok) sehingga 5 Jun depan berdasarkan penilaian risiko dilakukan selepas 24 daripada 35 ujian saringan COVID-19 di kampung tersebut disahkan positif.
"Perlaksanaan PKPD ini bagi membolehkan KKM menjalankan pengesanan awal kes, selain memastikan penduduk kekal berada dalam kawasan tersebut dan tidak menjangkiti komuniti luar," katanya. - Getaran, 22 Mei 2021