KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines mengesahkan salah satu penerbangannya mengalami masalah enjin selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi di Hyderabad, India awal hari ini.
Dalam satu kenyataan, Malaysia Airlines memaklumkan penerbangan MH199 dari Hyderabad ke Kuala Lumpur pada 20 Jun kembali ke Hyderabad disebabkan masalah pada salah satu enjinnya sejurus berlepas.
"Pesawat tersebut mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi pada jam 3.21 pagi waktu tempatan, dan semua penumpang dan kru turun dengan selamat," kata kenyataan itu.
Terdahulu, penerbangan MH199 dilaporkan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Hyderabad selepas salah satu enjinnya terbakar di udara.
The Times of India melaporkan, penerbangan MH199 yang membawa 138 penumpang berlepas pada jam 12.45 pagi tetapi berpatah semula ke lapangan terbang Hyderabad atas faktor teknikal.
Video tular memaparkan pesawat dengan enjin yang terbakar telah dimuat naik dalam talian oleh salah seorang penumpang. – The Vibes, 20 Jun 2024