“Aku nak kahwin ni. Paling lewat hujung tahun ni,” kawan saya Saleh buka cerita. Kami di kedai makan. Makan tengah hari sama-sama. Lama juga tak jumpa Saleh ni.
“Allahu. Alhamdulillah. Suka aku dengar,” saya balas. Dia senyum.
Saleh ni dah lama membujang. Cerita dia nak berkahwin ni jarang saya dengar. Saya sendiri pun tak pernah tanya. Yalah kadang ada orang rasa sensitif soalan gitu. Tapi kali ini dia yang sebut.
“Tapi dia ni pernah kena domestic violence,” kata Saleh lagi.
Allahu. Keadaan macam ni banyak saya terima. Saleh ni bakal berkahwin dengan seorang wanita yang pernah gagal dalam rumah tangga dia yang dulu.
Bezanya kali ini dia ada pengalaman dipukul dan dicederakan oleh bekas suami.
“Lama dah kah dia berpisah dengan suami dulu?” Saya tanya nak kepastian.
Saleh jawab, “Tahun lepas.”
Masih baru lagi. Saya tarik nafas dalam-dalam. Pandang tepat ke mata Saleh dan saya pesan begini.
“Macam ni Saleh. Perempuan yang pernah ada sejarah domestic violence ni, dia bukan sahaja disakiti fizikal, lebih daripada itu mental dan hati dia juga disakiti dan dipukul teruk.
“Biasanya akan meninggalkan kesan yang mendalam pada diri dia. Terutama kesan buruk terhadap penerimaan dia kepada lelaki. Atau lebih tepat lelaki untuk dia jadikan suami.
“Aku boleh sebut macam ni, kalau dalam tempoh setahun dia boleh move on untuk buka hati dia terima kau sebagai teman baru hidup dia, kau kena tahu yang dia ini sebenarnya seorang yang kuat.
“Ya, kuat sebab dapat jalan terus tanpa berlama dengan masalah dia. Dan kuatnya dia sebab dia dapat lawan perasaan yang biasanya mendesak mengatakan bahawa lelaki semua sama.
“Keduanya, tugas kau akan jadi dua kali berat daripada lelaki lain. Sebab kau kena dua kali lipat berhati-hati, jaga hatinya daripada hati perempuan lain.
“Sebabnya dia pernah disakiti dan dia keluar daripada kehidupan penuh ketakutan tu. Untuk kali ini dia mesti tak nak perkara sama berlaku lagi.
“Atas kepercayaan yang dia sandarkan dekat kau ni, kau tak boleh hancurkan walau sekali pun. Kalau sekali kau musnahkan kepercayaan dia, percayalah cakap aku dia akan hilang hormat pada kau terus.
“Sebab dia akan samakan kau dengan suami yang dulu.”
Saleh cuma tenang membalas pandangan saya. Dia angguk tanpa faham.
“Itu yang aku dengan dia tengah cuba, untuk bagi dia lupa apa yang dah jadi dulu,” Saleh cuba yakinkan yang dia dah bersedia untuk itu semua.
Saya sambung lagi.
“Manusia takkan pernah dapat melupakan apa yang berlaku dalam hidup dia. Orang yang hilang ingatan sahaja boleh lupakan sejarah hidup dia.
“Namun, apa yang membantu dia adalah masa. Masa yang akan menentukan bila dia tak akan berfikir lagi tentang cerita lama dia.
“Untuk lupakan tak mungkin. Tapi untuk tidak lagi fikirkan itu boleh. Bergantung kepada kekuatan manusia itu sendiri. Ada yang cepat, ada yang akan ambil masa lama.”
Saleh bersandar ke kerusi. Dia tarik nafas lega. Kami diam entah berapa lama. Aku biarkan dia berfikir sendiri sebelum kami sama-sama bangun dan berpisah.
Sekian.
Moga kau kuat. - Getaran, 18 Jun 2022