Penyanyi yang baru sahaja melancarkan album terbaharunya, Ernie Zakrie ini secara rasminya telah dilantik sebagai duta tudung dan skarf jenama tempatan, Ayuwan.
Jenama yang dikenali dengan dedikasi yang menjunjung kualiti tanpa mengetepikan rekaan semasa ini melantik Ernie bagi membawa Ayuwan ke era baharu dengan mempertaruhkan himpunan rekaan yang sofistikated dalam memperkasakan fesyen Muslimah tempatan.
Pengumuman kolaborasi ini telah dibuat ketika pelancaran album baharu Ernie Zakri yang berjudul ‘Aura’. Pada majlis itu, penyanyi bersuara emas ini menandatangani sebuah plak khas dihiasi gambar dirinya yang tampil menggayakan skarf menawan hasil rekaan kreatif Ayuwan.
Mengulas tentang pelantikannya itu, Erni menjelaskan dia sangat gembira dan teruja apabila diberi kepercayaan untuk sama-sama mempromosikan jenama tudung yang semakin mendapat tempat dalam kalangan muslimah itu.
“Saya sangat gembira, dan dalam masa yang sama juga teruja. Ayuwan mencerminkan minat saya dalam fesyen dan membolehkan saya berkongsi gaya peribadi serta kreativiti saya ketika menggayakan tudung. Saya juga bakal berkongsi beberapa siri video penggayaan yang saya gemari dengan peminat dari semasa ke semasa sepanjang tempoh kolaborasi ini. Jadi, tunggu akan tutorial saya,” ulas Ernie.
Sementara itu, pihak pengurusan Ayuwan pula melihat kolaborasi bersama Ernie Zakri menjadi detik bersejarah bagi jenama ini kerana mereka percaya ia mampu meraih perhatian yang lebih meluas pada masa akan datang.
“Kehadiran Ernie mewarnai lapangan seni hiburan tempatan, merangkumi intipati komitmen Ayuwan yanga mana menjulang keanggunan, keperibadian, serta kecantikan abadi. Berkarisma lagi bersopan santun menjadikannya pilihan ideal sebagai wajah Ayuwan.
“Gaya peribadinya ditambah pula dengan cara penataan skarf yang tersendiri, imej Ernie Zakri selari dengan barisan produk Ayuwan. Ayuwan teruja untuk meneroka peluang yang ada dan kami mempersembahkan tudung koleksi terbaharu ‘Ayuwan’ yang dinamakan ‘Gemala’,” kata pengurusan Ayuwan.
Koleksi eksklusif ini merupakan himpunan tudung ‘fotokromik’ pertama di Malaysia yang memperlihat corak tersirat apabila berada di bawah sinar matahari seperti mana batu ajaib ‘gemala’ dalam cerita Melayu klasik memberi wanita satu aura mistik, sesuai dengan gaya penghibur Ernie yang menjadi inspirasi di kalangan peminatnya.
Majlis pelantikan yang diadakan di Sunway Putra Mall itu turut menampilkan pementasan peragaan himpunan skarf yang membiaskan aura glamor Ayuwan. Pementasannya memperlihatkan barisan produk utamanya, termasuk koleksi Desa, Spora, Pancawarna, Birai dan Gemala.
Selain itu, Ernie turut membuat persembahan dengan menyampaikan lagu baharunya secara langsung buat pertama kali. Terokai dunia Ayuwan yang anggun lagi bergaya di www.ayuwan.com.my - Getaran, 11 November 2023
Foto : Ayuwan