KUALA LUMPUR - Eksport perkhidmatan menunjukkan peningkatan ketara berbanding import pada tahun lalu, iaitu RM140.3 bilion berbanding RM88.1 bilion.
Jurucakap Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, Statistik Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa (SITS) 2022 turut merekodkan peningkatan ke atas import perkhidmatan.
Menurut beliau, import perkhidmatan pada 2022 dicatatkan pada RM196.7 bilion berbanding RM153.7 bilion tahun sebelumnya.
“Perjalanan yang menjadi komponen utama bagi sektor perkhidmatan Malaysia sebelum pandemik, kembali pulih pada tahun 2022 dengan memainkan peranan penting dalam memacu prestasi perdagangan perkhidmatan negara.
“Eksport komponen in menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang menggalakkan dengan mencatatkan RM28.4 bilion, peningkatan yang ketara berbanding RM0.3 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya.
Jelas jurucakap itu, import perjalanan pada masa sama juga menunjukkan trend peningkatan apabila mencapai RM29.5 bilion berbanding RM15.2 bilion pada tahun sebelumnya.
Nilai eksport dan import bagaimanapun katanya, masih rendah berbanding kemuncak pra-pandemik iaitu masing-masing sebanyak RM82.1 bilion dan RM51.3 bilion pada tahun 2019.
“Oleh kerana pertumbuhan eksport lebih laju berbanding import, perjalanan mencatatkan defisit yang lebih rendah iaitu RM1.2 bilion berbanding RM14.9 bilion pada tahun 2021.
“Di samping itu, perkhidmatan pembuatan bagi input fizikal yang dimiliki pihak lain juga menyumbang kepada pengurangan defisit dalam perdagangan perkhidmatan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, komponen berkenaan mencapai lebihan sebanyak RM16.3 bilion, tertinggi yang pernah dicatatkan dalam tempoh sepuluh tahun.
“Eksport komponen ini bernilai RM20.1 bilion, manakala import ialah RM3.9 bilion,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap DOSM berkata, perkhidmatan perniagaan lain telah mengatasi perjalanan sejak 2019, apabila mendominasi eksport perkhidmatan tahun lalu.
“Komponen ini mencatatkan nilai eksport sebanyak RM31.4 bilion dan import RM46.0 bilion yang menyebabkan defisit lebih tinggi sebanyak RM14.6 bilion pada 2022.
“Pengangkutan pula mencatatkan defisit sebanyak RM34.0 bilion pada 2022, disumbangkan oleh bayaran yang lebih tinggi dibuat dalam semua mod pengangkutan, terutamanya untuk aktiviti muatan,” katanya.
Beliau menarik perhatian, eksport pengangkutan melonjak sebanyak 55.4 peratus tahun ke tahun untuk mencapai RM25.6 bilion.
“Ini adalah hasil daripada pembukaan semula sempadan Malaysia kepada semua pelawat antarabangsa mulai
1 April 2022, yang telah merangsang pertumbuhan eksport pengangkutan penumpang udara sepanjang tahun 2022.
“Sementara itu, import pengangkutan juga meningkat sebanyak 23.4 peratus daripada RM48.3 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM59.6 bilion,” katanya. - Getaran, 22 Jun 2023