Selepas mengambil kira pendapat ramai, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akhirnya akur dan tampil memperkenalkan corak dan logo baharu pada pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 .
Rekaan kali ini menampilkan corak belang harimau yang lebih garang, malah warna Jalur Gemilang juga telah ‘dipulihkan’ kepada warna rasmi.
“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat harimau yang sudah menjadi identiti kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.
“Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di kota Paris nanti,” ulas MOM menerusi kenyataan rasmi yang diedarkan pada hari ini.
Selain itu, MOM turut memaklumkan bahawa kemeja-T berkolar berwarna emas akan mengekalkan rekaan yang sama, tetapi logo MOM akan ditukar warnanya sebagai tanda menghormati bendera negara.
Menurut Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria, beliau percaya corak baharu yang dipilih itu lebih segar dan boleh menaikkan semangat juang kontinjen negara di temasya terbesar dunia itu nanti.
Tambahnya, MOM juga mengambil maklum balas orang ramai apabila menukar logo dengan kibaran Jalur Gemilang kembali dilakar mengikut warna-warna Jalur Gemilang diiringi lima gegelung Olimpik, berbanding logo MOM berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu.
"Reka corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam, dengan belang Harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket,” ulas beliau.
Dalam masa yang sama, Norza juga memberitahu MOM mencapai kata sepakat dengan pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja-T baharu itu atas alasan kekangan masa.
"Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses perjanjian dengan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu.
"Oleh itu, Yonex Sunrise Malaysia beri keizinan khas kepada MOM untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza sebagai pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 disebabkan faktor masa," katanya. - Getaran, 2 Julai 2024