PUTRAJAYA – Sebanyak 94 iklan berkaitan penjualan beras secara dalam talian telah diturunkan oleh penyedia platform e-dagang bermula 1 Oktober tahun lalu hingga 31 Mei lepas.
Jurucakap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, tindakan tersebut diambil selepas semua penjual dalam talian itu didapati tidak mempunyai lesen runcit yang dikeluarkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB).
Menurut beliau, beras dijual itu juga dipercayai diambil dari sumber yang tidak sah.
“Padi dan beras adalah barang kawalan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan peraturan-peraturan di bawahnya.
“Sebarang urusniaga melibatkan barang kawalan di peringkat kilang, borong dan runcit termasuk jualan secara dalam talian memerlukan lesen yang dikeluarkan KPB,” katanya.
Tegas jurucakap itu, ketiadaan lesen barang kawalan beras menyalahi Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit)1996.
“Penjualan beras di luar kelulusan ialah satu kesalahan di bawah Peraturan 10(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996,” katanya.
Beliau memberi amaran, penjualan beras dan barangan kawalan padi perlu mematuhi mana-mana peraturan ditetapkan.
“Pihak KPB sentiasa memantau aktiviti penjualan beras menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform e-dagang berkenaan bagi membendung aktiviti berkenaan daripada terus berleluasa.
“Sekiranya didapati bersalah, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjara selama tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya,” katanya. - Getaran, 3 Julai 2024