PADANG TERAP - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pentadbiran negeri Kedah supaya mengikut cara sebenar dalam berkawan dengan kerajaan Persekutuan, serta tidak mengutuk di belakang.
Malah, katanya, beliau telah bercakap dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya tidak melalut apabila berucap dalam Majlis Rumah Terbuk Madani di Jitra, malam ini.
"Saya jumpa Muhammad Sanusi minggu lepas dalam satu mesyuarat dan beritahu padanya, 'hang' jangan melalut macam-macam. Saya akan tengok malam ini.
"Petang ini mereka akan minta peruntukan untuk pembangunan negeri Kedah dan kalau nak berkawan, ikut cara berkawan. Minta (peruntukan) tetapi kutuk orang.
"Sebabnya Perdana Menteri ini terlalu baik hati. Saya akan beritahu Perdana Menteri kalau orang itu 'loq laq' dan kurang ajar, jangan bagi apa-apa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Padang Terap di sini, hari ini.
Presiden UMNO itu berkata, Kerajaan Perpaduan sentiasa mengutamakan rakyat dan komited mahu memastikan kawasan terpinggir, dimajukan.
"Namun kita kena belajar dari pengalaman agar tak dipatuk ular sama, di tempat sama. Ular tetaplah ular termasuk 'ular mak'.
"Saya amat hormati ulama tetapi tidak akan pernah menghormati ulama politik yang cakap pagi lain, petang lain dan esok juga lain. Saya pernah ada pengalaman semasa mereka bersama dalam Muafakat Nasional (MN) serta penyatuan ummah dan pengalaman itu adalah pahit," katanya.
Ahmad Zahid berkata, pihak berkenaan tidak berpegang kepada janji dan sering memungkirinya dengan perkara itu boleh ditanyakan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini bertindak sebagai Ketua Sekretariat MN.
"Mereka tentukan tarikh untuk bermesyuarat tetapi selepas tujuh kali dipinda, baru mesyuarat itu berlangsung. Itu pun tak semua yang datang.
"Bukan itu saja, malah keputusan yang sudah diterima secara bersama, esok lain yang mereka buat," katanya. - Getaran 4 Mei 2024.