‘Gempak habis, wedding of the year ini!’.
Itulah reaksi ramai terhadap majlis resepsi perkahwinan pasangan pelakon jelita Reen Rahim bersama jejaka pilihan hatinya yang juga ahli perniagaan dan penggiat seni, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin, yang telah berlangsung di Glass House, Ruscus Hall, Forest Valley, Bandar Mahkota Cheras, malam Ahad lalu.
Reen Rahim atau nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim, 34 telah menggayakan beberapa busana daripada pereka terkenal, Rizman Ruzaini sepanjang menempuh hari bahagianya yang diadakan selama tiga hari berturut-turut.
Bermula dengan majlis berinai, majlis akad nikah, disusuli dengan majlis resepsi perkahwinannya, kesemua busana pengantin yang dipakainya itu menjadi tular di media sosial.
Namun, pada majlis resepsi perkahwinannya itu, busana songket beridentitikan tradisi yang dipakainya itu benar-benar menarik perhatian ramai netizen.
Sehingga ada yang menganggap bahawa ia adalah rekaan paling cantik yang digayakan Reen Rahim.
Rekaan busana tersebut cukup menaikkan seri pengantin jelita yang popular dengan watak Kak Su dalam drama bersiri Pujaan Hati Kanda ini dan ia cukup padan dengannya.
Bahkan, kombinasi warna unik pada songket yang lain dari yang lain itu, membuat ramai yang terpesona. Tidak hairanlah jika ada yang menggelarkan majlis perkahwinannya itu sebagai ‘wedding of the year’.
Majlis resepsi perkahwinannya itu juga diadakan dengan cukup meriah apabila dihadiri ramai tetamu termasuk media, rakan selebriti, tetamu-tetamu penting yang lain serta keluarga di kedua-dua belah pihak.
Selain upacara berarak masuk, bersanding di pelaminan, upacara memohon restu keluarga, makan beradab dan memotong kek, pasangan pengantin ini juga dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional daripada sekumpulan penari.
Memang meriah sungguh majlis resepsi perkahwinan Reen dan pasangannya. Pasangan merpati sejoli ini yang mula berkenalan sejak dua tahun lalu telah mengikat tali pertunangan pada 12 Ogos lalu.
Pada majlis akad nikah mereka, Reen dan ahli perniagaan berusia 28 tahun itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Abdul Rahim Abd. Kadir di hadapan Pendaftar Nikah Putrajaya, Hafizan Ibrahim dengan mas kahwin RM1,988 berserta sedulang barang kemas pada 24 Disember lalu.
Memilih busana sedondon putih pada hari bahagia mereka, upacara akad nikah disaksikan oleh kira-kira 400 tetamu yang hadir.
Sebelum majlis pernikahan, Reen terlebih dahulu diraikan dalam majlis berinai bertemakan Bollywood di Hulu Langat pada 23 Disember lalu.
Majlis perkahwinan Reen dan pasangan selama tiga hari berturut-turut itu juga mendapat tajaan bernilai RM15 juta dalam pelbagai bentuk.
Getaran turut kongsikan gambar-gambar menarik majlis resepsi perkahwinan Reen dengan Ahmad Nur Hazim– Getaran, 28 Disember 2022.