KOTA KINABALU - Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam perlu mengambil kira sensitiviti agama lain, kata Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).
Pengerusinya, Steve Johnny Mositun berkata, kerajaan tidak seharusnya memulakan isu baharu, terutama dalam keadaan semasa.
“Lebih baik sekiranya kerajaan sekarang berfikir cara untuk mengekalkan keharmonian Keluarga Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya di sini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam adalah antara empat akta baharu yang digubal untuk memperkasa perundangan syariah.
Menurut Marzuk, RUU bersabit pengembangan agama bukan Islam itu adalah sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah selama lima tahun (2020-2025).
Dalam pelan pemerkasaan ini, katanya, kerajaan bercadang menggubal 11 undang-undang Syariah utama, termasuk penggubalan undang-undang baharu dan pindaan peraturan sedia ada, dan lapan undang-undang Syariah subsidiari.
Tegas Steve, penduduk Malaysia, khususnya di Sabah selama ini boleh hidup harmoni tanpa mengira agama.
“Dalam kebanyakan keluarga di Sabah, tidak menghairankan jika ada ahli keluarga yang tinggal sebumbung walaupun berbeza agama dan ini tidak menjadi masalah bagi kami di Sabah.
“Kita sedar agama Islam adalah agama Persekutuan dan mereka harus memartabatkannya, namun, langkah drastik seperti ini bukanlah sesuatu yang bijak pada masa ini," jelas beliau.
Isu agama tegas Steve, amat sensitif, terutama bagi penduduk di Sabah yang sudah hidup dalam harmoni dengan perpaduan yang kuat dan kebebasan amalan agama.
“Saya rasakan jiran kami di Sarawak juga sependapat dengan kami.
“Perlu diingatkan, Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi yang membentuk Malaysia dan hal berkaitan kebebasan beragama adalah salah satu perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan telah dipersetujui,” katanya. - Getaran, 8 September 2021