KUALA LUMPUR - Setelah mencetuskan pelbagai kontroversi, akhirnya Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) kembali diwartakan, malah kerajaan negeri Selangor turut membatalkan rancangan pembangunan di kawasan tersebut.
Keputusan itu diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi satu kenyataan hari ini selepas pentadbirannya dikecam hebat kerana secara diam-diam menyahwartakan HSKLU pada Mei lalu.
“Kerajaan Negeri akan menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut serta membatalkan pemberimilikan tanah itu kepada syarikat terbabit (Gabungan Indah Sdn Bhd).
“Sehubungan dengan itu, kerajaan Selangor akan memulakan proses mewartakan semula HSKLU.
“Pada masa sama, kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal seluas 1,435 ekar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan tetap dengan statusnya sebagai Hutan Simpan Kekal,” jelas Amirudin.
HSKLU adalah satu daripada empat hutan paya gambut yang masih wujud di Selangor.
Hutan tropika seluas 931 hektar dan berusia 8,000 tahun itu juga memainkan peranan sebagai kawasan rayau bagi masyarakat Orang Asli yang menetap di sekitar Kuala Langat.
Mengulas lanjut Amirudin berkata, kerajaan Selangor telah bersetuju untuk menyahwartakan 104 ekar daripada kawasan HSKLU bagi keperluan Orang Asli suku kaum Temuan yang menetap di Kampung Busut Baru.
“Ia bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sejak tahun 2006.
“Mereka telah dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan KLIA,” jelasnya.
Lebih 45,000 surat bantahan telah disampaikan kepada pejabat Perhutanan Negeri Selangor dan lebih 129,034 tandatangan petisyen telah diterima secara atas talian untuk menyatakan bantahan keras terhadap cadangan penyahwartaan status HSKLU. – Getaran, 8 September 2021