web statsweb stats

Berita Terkini

2 minggu yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Kesuburan Wanita Malaysia Semakin Menurun

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 15 Oct 2021 7:27AM

Gambar hiasan - Gambar Aditya Romansa, Unsplash

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) dalam kalangan wanita umur reproduktif di Malaysia menurun daripada 1.8 anak pada 2019 kepada 1.7 anak tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, trend penurunan itu adalah yang terendah sejak empat dekat lalu.

Menurut beliau, kadar kesuburan bagi setiap wanita umur reproduktif pada 1970 berada di paras 4.9 anak dan menurun ke bawah paras penggantian 2.1 anak mulai tahun 2013.

Beliau berkata, penurunan TFR itu disumbangkan peningkatan taraf pendidikan wanita dan pertambahan pembabitan kaum ini sebagai tenaga kerja.

Jelasnya, senario tersebut turut disumbangkan peningkatan purata umur perkahwinan pertama, kesan evolusi pembandaran perubahan gaya kehidupan, status ekonomi dan perancangan keluarga.

“Merujuk kepada manual Principles and Recommendations For A Vital Statistics (Revision 3), United Nations Statistics Division (2014, paras penggantian 2.1 bermakna purata bilangan anak harus dilahirkan seorang wanita dengan menanggung seorang anak perempuan yang hidup sehingga anak terbabit melahirkan keturunan seterusnya.

“Jika paras penggantian kesuburan kekal dalam tempoh panjang, setiap generasi secara tepat akan menggantikan dirinya dan pasangannya tanpa mengambil kira migrasi penduduk,” katanya.

 Dr Mohd Uzir Mahidin
Dr Mohd Uzir Mahidin

Mohd Uzir berkata, semua negeri menunjukkan kadar TFR di bawah paras penggantian, kecuali Terengganu, iaitu 2.9 anak, Putrajaya (2.8 anak) dan Kelantan (2.7 anak).

“Trend penurunan kadar kesuburan di Malaysia adalah selari dengan negara ASEAN, iaitu Laos (2.6 anak), Philippines (2.5 anak), Kemboja (2.5 anak), Indonesia (2.3 anak), Vietnam (2.1 anak), Myanmar (2.1 anak), Brunei Darussalam (1.8 anak), Thailand (1.5 anak) dan Singapura (1.1 anak).

“Trend sama turut diperhatikan berlaku di negara maju, seperti Australia (1.7 anak), United Kingdom (1.7 anak), United States (1.7 anak), New Zealand (1.6 anak), Japan (1.4 anak) dan Korea (0.9 anak),” katanya.

Selain itu, Mohd Uzir berkata, TFR bagi semua kumpulan kaum utama di Malaysia turut menunjukkan trend penurunan bagi tempoh 2010 hingga 2020.

“TFR bagi Bumiputera, menunjukkan penurunan daripada 2.6 anak kepada 2.2 anak, manakala Cina (1.5 anak kepada 1.0 anak) dan India (1.7 anak kepada 1.2 anak).

“Bagi etnik Cina dan India mencatatkan TFR di bawah paras penggantian, masing-masing bermula 2003 dan 2005,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Uzir berkata, bilangan kelahiran hidup dicatatkan pada 2020 adalah sebanyak 470,195 yang menyaksikan penurunan 3.6 peratus berbanding 487,957 pada tahun sebelumnya.

Jumlah tersebut jelasnya, dicatatkan sebagai bilangan kelahiran terendah dalam satu dekad dan bayi lelaki yang dilahirkan melebihi bayi perempuan, iaitu masing-masing 243,617 dan 226,578.

Pada masa sama, Mohd Uzir berkata, data awalan kematian menunjukkan sebanyak 132,812 kematian direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021.

Ujarnya, jumlah direkodkan di Malaysia pada 2020 adalah sebanyak 166,507, iaitu penurunan 4.2 peratus berbanding 173,746 kematian pada 2019.

“Kematian lelaki melebihi perempuan, iaitu masing-masing 96,322 dan 70,185 kematian, manakala Kadar Kematian Kasar (CDR) terus menurun daripada 5.3 pada 2019 kepada 5.1 kematian bagi setiap seribu penduduk pada 2020.

“Berdasarkan statistik berkenaan, penduduk Malaysia pada 2020 dianggarkan berjumlah 32.6 juta orang yang disumbangkan pertambahan semula jadi, iaitu perbezaan antara bilangan kelahiran dan kematian yang berlaku setiap tahun,” katanya. - Getaran, 15 Oktober 2021

Sorotan

1

Operasi Pencarian Sabari Meliputi Keluasan 13 Km Sungai Padang Terap

2

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

3

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

4

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

5

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

6

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia