web statsweb stats

Berita Terkini

2 minggu yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Ganti Paip Baharu, Elak Kekerapan Gangguan Air

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 Oct 2021 7:35AM

Isu gangguan bekalan air dialami oleh penduduk Selangor hampir saban tahun dan terbaru 998 kawasan di Lembah Klang mengalami masalah sama selama empat hari mulai 13 Oktober lalu. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kerajaan wajar menyediakan peruntukan untuk penggantian semula saluran paip air dalam belanjawan negara atau rancangan Malaysia pada tahun seterusnya.

Peruntukan itu bukan sahaja mampu  menggantikan paip rosak, malah mengelakkan kekerapan penyelenggaraan dan kerja baik pulih ke atas aset berkenaan yang mengakibatkan gangguan ke atas bekalan air.

 Saral James Maniam
Saral James Maniam

Presiden Forum Air Malaysia, Saral James Maniam berkata, perkara itu sudah dicadang oleh pihaknya kepada agensi berkaitan untuk diusulkan.

“Kita ada mencadangkan untuk kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas menerusi belanjawan dan rancangan Malaysia bagi membolehkan proses penggantian semula paip dijalankan di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu gangguan bekalan air yang sering membelenggu penduduk di Lembah Klang, terutama Selangor sejak lebih 10 tahun lalu.

Isu ketiadaan air membabitkan rakyat di negeri itu seolah-olah membuatkan mereka sudah lali dan ‘redha’, selain sering dijadikan bahan jenaka dalam kalangan masyarakat, terutama netizen.

Terkini, penduduk di 998 kawasan di Lembah Klang berdepan gangguan bekalan kemudahan asas itu selama empat hari bermula 13 sehingga 16 Oktober.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, gangguan itu disebabkan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal.

Saral berkata, usaha itu wajar dilaksanakan bagi kebaikan masa depan rakyat, walaupun diakui penggantian paip di seluruh negara akan membabitkan perbelanjaan besar dan menuntut masa yang agak lama.

Katanya, Forum Air Malaysia memahami bahawa kemelut dialami pengguna itu tidak mampu dielakkan, memandangkan penyedia perkhidmatan air perlu menjalankan penyelenggaraan mengikut jadual bagi membaik pulih peralatan.

“Kami faham kepentingan penyelenggaraan dilakukan mengikut jadual dan kesan lebih buruk bakal dihadapi sekiranya perkara ini tidak dilakukan, seperti diterangkan pihak Air Selangor kepada kami serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) ketika menghadiri sesi konsultansi bersama syarikat berkenaan dua minggu lalu.

“Pihak kami juga memahami dengan kepadatan penduduk dan pengguna air paling tinggi di Selangor, memang sangat ramai pengguna akan terkesan apabila bekalan ini terhenti. Namun, tindakan jangka masa panjang harus diambil mengenai perkara ini kerana air adalah hak asasi rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut Saral berkata, jika dibandingkan pada 2020 yang menyaksikan 19 kes gangguan air direkodkan pihaknya akibat penyelenggaraan, pencemaran dan baik pulih paip pecah, tahun ini tidak menunjukkan isu seperti itu.

“Bagi separuh tahun ini, tidak nampak apa-apa isu gangguan air besar, kecuali empat hari terkini.

“Langkah membuat penyelenggaraan berjadual ini bagus tetapi isunya, bagaimana pengguna boleh mendapatkan stok air sementara menunggu bekalan pulih kerana bukan semua orang memiliki kenderaan untuk mengangkut air atau menetap di lokasi berhampiran dengan sumber air,” katanya.

Persatuan penduduk boleh menghubungi pihak Air Selangor untuk meminta perkhidmatan lori membawa bekalan air dihantar ke kawasan mereka. - Gambar Sairien Nafis
Persatuan penduduk boleh menghubungi pihak Air Selangor untuk meminta perkhidmatan lori membawa bekalan air dihantar ke kawasan mereka. - Gambar Sairien Nafis

Pada masa sama Saral berkata, pihaknya ada menyuarakan permasalahan dialami pengguna untuk mendapatkan stok air kepada Air Selangor dan dimaklumkan perkara terbabit adalah tertakluk kepada persatuan penduduk di setiap kawasan.

“Justeru, persatuan penduduk kena proaktif dan patut menghubungi pihak Air Selangor untuk meminta perkhidmatan lori membawa bekalan air ke kawasan mereka sekiranya ramai pengguna di situ, termasuk golongan rentan yang terjejas,” katanya.

Ditanya keperluan mewujudkan agensi khas untuk membantu menyelesaikan isu gangguan air dialami pengguna, termasuk melaksanakan pelan segera apabila masalah itu berlaku, Saral berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Kita sudah ada banyak agensi untuk menguruskan dan menangani isu air, tetapi masalahnya sekarang adakah pihak ini proaktif untuk memainkan peranan sebaiknya bagi meneliti perkara berkaitan.

“Jadi, tidak perlu wujudkan agensi baharu supaya tidak berlaku pertindihan fungsi dan tugasan dengan agensi sedia ada, malah tidak perlu membazir wang untuk tujuan ini sedangkan peruntukan itu boleh digunakan bagi membuat perancangan betul mengenai isu air,” katanya. - Getaran, 16 Oktober 2021

Sorotan

1

Operasi Pencarian Sabari Meliputi Keluasan 13 Km Sungai Padang Terap

2

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

3

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

4

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

5

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

6

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia