KUALA LUMPUR - Bukit Aman tidak mempunyai maklumat keberadaan usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat yang mendakwa kini berada di Australia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya masih belum memperoleh maklumat terkini keberadaan Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.
Justeru beliau berkata, polis tidak dapat mengesahkan kesahihan laporan bahawa usahawan yang sedang diburu itu kini berada di Australia.
“Saya tiada maklumat mengenai dakwaan itu.
“Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Semalam, Nur Sajat menerusi Instragram mendakwa dia kini berada di Canterbury, Australia.
Usahawan itu memaklumkan sedang menjalani kuarantin dan secara rasmi berhijrah ke negara itu dengan bantuan kerajaan Australia, ketika sesi siaran langsung menerusi laman sosial itu.
Nur Sajat turut menegaskan dia tidak melarikan diri, sebaliknya hanya berhijrah.
“Kita tak lari, kita berhijrahlah. Tak baik kata kita lari you all (anda semua) yang kata kita lari tak boleh terima hakikatkan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Nur Sajat ditahan Imigresen Thailand kira-kira jam 6 petang pada 8 September lalu, kerana memiliki pasport tidak sah.
Usahawan itu kemudian dikatakan dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan Imigresen di negara itu.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab pada 23 Februari lalu.
Dia dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya. - Getaran, 19 Oktober 2021