web statsweb stats

Berita Terkini

2 minggu yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Najib Tangguh Ke Singapura Untuk Bantu PRN Melaka

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 22 Oct 2021 2:53PM

Najib Razak - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memohon untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya ke Singapura selepas bekas presiden UMNO itu diamanahkan untuk membantu jentera parti UMNO menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

Najib berkata memandangkan Presiden Parti UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada masa tersebut akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi tulang belakangnya, beliau telah diamanahkan untuk memastikan parti UMNO bergerak secara teratur dan bertindak dengan sewajarnya sewaktu PRN Melaka dan semasa ketiadaan Ahmad Zahid.

"Oleh yang demikian, saya terpaksa menangguhkan perjalanan saya ke Singapura sehingga selepas tamat PRN Melaka pada 20 November ini," kata Najib menerusi afidavit sokongan tambahan yang difailkan bersama permohonan itu.

Najib, 68, selaku pemohon memfailkan notis usul itu semalam menerusi Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan pendakwa raya selaku responden.

Beliau memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah daripada 20 Oktober sehingga 22 November kepada 25 Oktober sehingga 6 Disember ini untuk melawat anak perempuannya Nooryana Najwa di Singapura, yang dijangka akan melahirkan anak kedua pada awal November.

Dalam afidavit sokongan itu Najib berkata pada 18 Oktober lepas, beliau telah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk pelepasan sementara pasport antarabangsanya bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini.

Bagaimanapun, Najib berkata selepas mendapat perintah daripada Mahkamah Rayuan itu, beliau telah dimaklumkan berkenaan perkembangan PRN Melaka yang akan berlangsung pada 20 November dan penamaan calon pada 8 November ini.

Sehubungan itu, katanya perancangan untuk bertolak ke Singapura telah berubah kepada 21 November dan pulang ke Malaysia pada 5 Disember (atau lebih awal dari tarikh tersebut) serta akan memulangkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah selewat-lewatnya pada 6 Disember ini.

"Saya telah meletakkan kepercayaan kepada isteri saya, Datin Seri Rosmah Mansor yang akan bertolak ke Singapura terlebih dahulu untuk mengawasi keadaan Nooryana sementara saya masih di Malaysia.

“Saya akan susuli isteri saya sejurus menyelesaikan tanggungjawab saya di sini terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan untuk meminda tarikh berhubung pelepasan sementara pasport antarabangsa anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata pihaknya perlu mendapatkan arahan selanjutnya daripada Peguam Negara berhubung permohonan pindaan itu.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan 26 Oktober untuk mendengar permohonan tersebut.

Najib dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Pada 15 Oktober lepas, Hakim Mohamed Zaini yang juga mendengar kes Rosmah bagi pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar membenarkan permohonan wanita itu untuk mendapatkan semula pasportnya bagi tujuan sama. 

Pasport Rosmah dipulangkan kepadanya pada 15 Oktober dan perlu dikembalikan kepada mahkamah sebelum atau pada 6 Disember ini. - Bernama

Sorotan

1

Operasi Pencarian Sabari Meliputi Keluasan 13 Km Sungai Padang Terap

2

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

3

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

4

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

5

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

6

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia