KUANTAN - Tidak sampai dua minggu dibersihkan, longkang di kawasan perumahan berhampiran Taman Indera Sempurna, dekat sini kembali dipenuhi sampah sarap.
Ia bukan sahaja menggambarkan sikap penduduk yang tidak mempunyai kesedaran sivik, bahkan menunjukkan kepekaan mereka terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan masih berada di tahap sangat mendukacitakan.
Walaupun pihak Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melalui syarikat konsesi Alam Flora mempunyai jadual bagi kerja membersihkan longkang taman perumahan itu, namun semuanya sia-sia jika sikap penduduk tidak berubah.
Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid yang ditemui ketika melakukan pemantauan kerja pembersihan longkang utama taman perumahan itu meluahkan rasa kecewa dengan isu berulang yang berlaku di kawasan terbabit.
"Kalau ikutkan jadual, kita baru sahaja membersihkan longkang pada 5 November lalu, kita tengoklah sendiri apa jadi hari ini, belum sampai dua minggu sudah bermacam jenis sampah ada dalam longkang.
"Nak tunggu sebulan sekali, memang bertimbunlah (sampah), selagi sikap mereka tidak berubah, sampai bila pun kita tidak boleh selesaikan masalah banjir kilat di sini," katanya.
Beliau turut memaklumkan, kebanyakan sampah dibuang ke longkang bukan sahaja dari kediaman penduduk, tapi turut membabitkan peniaga tepi jalan di sepanjang laluan masuk ke taman berkenaan.
Katanya, pihak SWCorp dan Alam Flora sudah melakukan apa yang termampu dan mengakui tanpa kerjasama penduduk serta peniaga, semua masalah berbangkit itu tidak boleh diatasi.
"Bukan di sini (Taman Indera Sempurna) saja masalah ini berlaku, kawasan lain pun ada juga, tapi berdasarkan maklumat yang kita ada, inilah kawasan paling kritikal.
"Sekarang sudah musim tengkujuh, bila hujan lebat dan air longkang melimpah hingga (mengakibatkan) banjir kilat, mereka (penduduk) biasanya akan cakap kami (SWCorp dan Alam Flora) tidak buat kerja, sedangkan kami melakukan pembersihan longkang sebulan sekali, seperti jadual ditetapkan," katanya.
Sharudin berkata, pihaknya bersama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta wakil kerajaan negeri menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau isu longkang dan saliran yang berpotensi menjadi punca banjir kilat.
"Dalam kumpulan (pasukan khas) itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda pun ada sekali, jadi semua isu berbangkit dapat kita selesaikan dengan lebih cepat.
"Kita tahu ada agensi yang mempunyai kekangan peruntukan bagi melakukan kerja penyelenggaraan, jadi kita bincang dan kalau perlukan tindakan segera, kita adakan gotong-royong untuk menjimatkan kos," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Razali Awang Kechik berkata, masalah longkang tersumbat akibat pembuangan sampah sesuka hati oleh segelintir penduduk dan peniaga sudah berlarutan sejak tahun 2012.
“Punca (longkang tersumbat) ini orang meniaga pun ada, orang atas taman pun ada, dia suka-suka dia sajalah, ikut suka dia nak buang (sampah) di mana-mana, sampai tilam pun ada, (tilam) 4 inci itu pun ada, bayangkan papan lapis pun dia buang dalam longkang dengan kayu sekali, ikut suka dia ” katanya.
Dia yang berniaga air kelapa dan goreng pisang sejak sembilan tahun lalu di kawasan itu mendakwa, terdapat penduduk di taman berkenaan kurang senang dengan tindakannya membersihkan sendiri longkang utama secara sukarela.
"Memang beberapa kali juga saya bersihkan sendiri longkang, kalau tidak, teruk bila hujan lebat. Tapi, saya buat setakat boleh (mampu) saja, saya seorang, tidak ada sesiapa bantu.
"Biasalah, ada yang tidak suka bila saya tegur mereka supaya tidak buang sampah ke longkang, mereka tanya longkang itu saya punya ke? Ini bukan masalah siapa pemilik longkang, tapi kena sama-sama jagalah, saya berniaga dan bila (longkang) tersumbat, bau kurang menyenangkan jadi siapa nak singgah beli makanan di kedai saya," katanya. - Getaran, 16 November 2021