KUALA LUMPUR - Negara akan berdepan gelombang keempat COVID-19 bulan depan jika rakyat terus leka dan berasa terlalu selesa dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan ketika ini.
Menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan orang ramai masih rendah.
“Saya dah berjalan merata-rata tempat, saya pergi ke Johor, Kedah dan Melaka. Berdasarkan pemerhatian saya, memang ramai tak patuh SOP. Ini amat membimbangkan.
“Malah ada premis yang tak check pun sijil vaksinasi di aplikasi MySejahtera. Tapi dalam banyak-banyak tempat tu, hanya masjid dekat rumah saya di Seremban yang betul-betul check sewaktu solat Jumaat tempoh hari,” katanya kepada Getaran, hari ini.
Malah beliau berkata, jangkaan berlakunya gelombang baharu itu juga dapat dilihat berdasarkan peningkatan kes harian COVID-19 sejak akhir-akhir ini.
“Hari ini saja ada lebih 6,000 kes dan 40 kematian direkodkan. Jadi ada sedikit peningkatan kes secara amnya. Dalam portal COVIDNOW juga kita tengok ada peningkatan kemasukan ke hospital.
“Malah kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 di negara ini meningkat kepada 1.04. Nilai tersebut dalam jangkaan kes bukan menurun tapi sama ada mendatar atau ada risiko berlaku lonjakan,” katanya.
Serentak dengan bermulanya cuti sekolah bulan depan, Dr Zainal tidak menolak kemungkinan ramai akan melakukan pergerakan rentas negeri dan mengadakan kenduri-kendara.
“Keadaan ini akan meningkatkan pergerakan rakyat dalam komuniti yang akan memberi risiko kepada lebih banyak jangkitan baharu selepas ini.
“Apatah lagi sekarang musim hujan dan banjir selalunya berlaku pada hujung tahun. Bila orang dah sibuk dengan banjir, kita takut mereka lupa SOP yang ditetapkan,” katanya.
Lebih membimbang beliau ketika ini adalah tahap pematuhan SOP orang ramai semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung Sabtu ini.
“Semasa tinjauan saya Ahad lalu, bila tak dibenarkan berhimpun mereka pergi berkempen di kedai makan. Mereka manipulasi undang-undang. Ini satu masalah.
“Kalau kita tak jaga PRN Melaka, kemungkinan berlakunya gelombang keempat itu ada. Jadi kita sedang giat lakukan pemantauan di peringkat akar umbi ketika ini agar orang ramai patuh SOP ditetapkan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata penurunan keberkesanan vaksin selepas tempoh tiga hingga enam bulan seseorang individu lengkap divaksin turut menjadi punca peningkatan kes ketika ini.
“Walaupun lebih 95 peratus populasi dewasa di negara ini sudah lengkap divaksinasi, apabila memasuki tempoh tiga hingga enam bulan, imuniti pun berkurang.
“Ramai tak menyedari perkara ini. Mereka fikir dah kebal jangkitan COVID-19 tapi sebenarnya mereka silap. Jadi ambillah dos penggalak untuk meningkatkan tahap imuniti yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua,” katanya.
Begitupun Dr Zainal berkata, gelombang keempat itu boleh dielakkan jika penguatkuasaan undang-undang terhadap mereka yang melanggar SOP dipertingkatkan.
“Jadi saya minta kerajaan jangan main-main. Tolong tingkatkan penguatkuasaan SOP. Ambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih berdegil.
“Kalau terus dibiarkan, segala usaha kerajaan selama ini hanyalah sia-sia. Tak mustahil kita semua kena di duduk rumah semula selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat menasihati orang ramai supaya mengambil dos penggalak yang dapat mengelak gelombang keempat daripada berlaku.
“Peratusan mereka yang ambil dos penggalak masih rendah. Jika masih ramai menolak, keadaan ini akan mewujudkan gelombang baharu.
“Ini dapat dilihat menerusi peningkatan kes harian ketika ini. Jadi orang ramai perlu tahu situasi sebenar sebelum keadaan bertambah teruk,” katanya.
Beliau turut menggesa agar operasi pemeriksaan secara rambang di premis perniagaan dilakukan dengan lebih kerap.
“Sekarang saya tengok banyak premis main bagi masuk. Ramai dah semakin leka. Ini antara punca yang boleh menyumbang kepada peningkatan kes harian COVID-19.
“Jadi penguatkuasaan perlu diperketatkan semula. Tindakan saman perlu dikenakan terhadap mereka yang langgar SOP termasuk pemilik atau pekerja premis yang tidak melakukan pemeriksaan ke atas pelanggan,” katanya. - Getaran, 17 November 2021