KUALA LUMPUR - Selepas tertangguh Selasa lalu, proses lelongan aset Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang berlangsung pagi tadi, berjalan lancar dan selesai dalam tempoh sejam.
Peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili plaintif, OWA Resources Sdn Bhd berkata, bidaan itu dimenangi Chai Leong Huat, 67, dengan bayaran serendah RM42,000.
“Pada awalnya, sesi lelongan bermula pada bukaan harga RM60,000 namun diturunkan kepada RM50,000 dengan kenaikan sebanyak RM5,000 untuk setiap bidaan.
“Tapi, tiada pembida yang membuat bidaaan. Jadi kami perlu turunkan harga kepada RM40,000 dengan kenaikan RM2,000. Tak sangka, lelaki tadi meletakkan bidaan RM42,000,” katanya ketika dihubungi Getaran, hari ini.
Nurul Hafidzah turut menarik nafas lega apabila sesi lelongan yang disertai tiga pembida itu akhirnya selesai.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dalam tempoh yang singkat. Pembida juga sudah buat bayaran penuh.
“Tiada isu pembida lari sebab kami dah tetapkan syarat ketat dengan menaikkan wang deposit yang harus dibayar daripada RM5,000 kepada RM20,000 semalam,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Nurul Hafidzah berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan susulan bagi menuntut baki wang pampasan berjumlah RM160,000 daripada usahawan tersebut.
“Kami akan bincang dengan anak guam tentang baki yang belum dilunaskan itu. Kami mungkin akan cuba dapatkan apa-apa yang kita boleh daripada Sajat di Australia.
“Dari awal lagi kita memang tunggu proses lelong (selesai) dulu, lepas itu baki tersebut barulah kita akan teruskan dengan apa-apa tindakan pelaksanaan yang lain,” katanya.
Semalam, jumlah deposit yang harus dibayar pembida aset Sajat dalam lelongan awam hari ini telah dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM20,000.
Malah pembida juga dinasihatkan supaya membawa wang tunai secukupnya di tempat lelongan yang beralamat di Premis No. 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Nurul Hafidzah berkata, anak guamnya, Nurwati Hussin, 41, dan Mohamed Syakir Hussin, 32, dari OWA Resources iaitu bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle milik Sajat cuba mendapatkan semula wang mereka selepas pampasan RM200,000 gagal dijelaskan usahawan berkenaan.
Lelongan aset terbabit adalah antara penyelesaian bagi menebus pampasan yang perlu dibayar oleh defendan.
“Objektif utama anak-anak guam mengambil tindakan undang-undang melalui kes saman sivil ini adalah bagi membersihkan nama mereka setelah dituduh menipu dan memfitnah, apabila satu laporan polis palsu telah dibuat oleh pihak defendan, kononnya plaintif telah pecah amanah wang syarikat sebanyak RM1 juta.
“Selepas lebih tiga tahun berjuang untuk kes ini di mahkamah, sistem kehakiman mendapati pihak plaintif tidak pernah menipu, memfitnah dan pecah amanah seperti yang didakwa defendan. Kedua-dua anak guam saya tidak bersalah dan keadilan telah ditegakkan,” katanya. - Getaran, 22 Disember 2021