BALING - Meskipun sudah 48 tahun berlalu, peristiwa Demonstrasi Baling 1974 melibatkan puluhan ribu penduduk yang berhimpun bagi menyuarakan keperitan dihadapi akibat penurunan harga getah, masih segar dalam ingatan memori penduduk setempat.
Meskipun baru berusia 12 tahun ketika itu, Razaini Md. Isa, 60, masih ingat bagaimana individu dewasa di sekelilingnya bersatu hati bagi menyatakan pendirian mereka bersama penduduk miskin yang melalui penderitan itu.
Menurut Razaini, beliau tidak dapat melupakan bagaimana ribuan rakyat berjalan kaki ke Pekan Baling.
"Berapa ramai orangnya entahlah, memang tak dapat nak kira. Pada masa itu bapa saudara saya ada lori dan saya turut menaiki kenderaan itu bagi menabur kertas fotostat berkaitan perkara tersebut di sepanjang jalan sebagai pemberitahuan kepada orang sekeliling.
"Masa itu saya masih kecil dan baru darjah enam. Tetapi apabila semakin dewasa dan kefahaman itu meningkat, maka sedarlah kita bahawa perjuangan tersebut sangat bersejarah kerana kesusahan pada masa itu boleh dikatakan terkesan kepada semua rakyat di sini," katanya.
Beliau ditemui Getaran pada Majlis Kenduri Rakyat Sempena Memperingati Demonstrasi Baling dan Kebangkitan Rakyat 1974 di Padang Awam Kampung Lalang, Mukim Siong, dekat sini, hari ini.
Majlis tersebut turut diserikan dengan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai demonstrasi oleh mahasiswa pada 1974, sebagai tanda sokongan terhadap golongan miskin berkenaan.
Razaini berkata, nama Anwar Ibrahim serta mahasiswa ketika itu sering meniti di bibir penduduk kerana keberaniannya membela dan menyuarakan nasib golongan miskin meskipun tanpa telefon bimbit serta pelbagai lagi teknologi komunikasi seperti hari ini.
"Perjuangan Anwar pada waktu itu 'melekat' di pemikiran masyarakat setempat. Beliau jelas membela rakyat dan bukan konglomerat atau bangsawan sejak dari zaman mudanya," katanya.
Seorang lagi penduduk Baling, Norrisah Ariffin, 65, berkata, semua pihak termasuk kerajaan perlu mengambil iktibar daripada perkara itu, terutamanya dalam memberi perhatian kepada kebajikan golongan miskin.
"Masa itu nasib penduduk kampung mungkin tidak dipedulikan, jadi sebab itu berlaku demonstrasi. Pada masa itu saya dimaklumkan oleh arwah ayah yang orang berkumpul di Pekan Baling cukup ramai.
"Jadi semua orang perlu ambil iktibar dari peristiwa itu. Kerajaan contohnya, perlu turun ke bawah bagi melihat dan membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik secara sama rata," katanya.
Sementara itu Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, perjuangan mahasiswa dalam peristiwa pada 1974 itu sewajarnya menjadi inspirasi kepada golongan berkenaan pada hari ini bagi terus menyampaikan keluhan rakyat.
"Soal rakyat ini kita tak boleh baca melalui buku saja sebaliknya perlu duduk dan dengar keluhan mereka. Itu yang kita belajar dari Demonstrasi Baling 1974.
"PKPIM merupakan antara persatuan yang terlibat dalam demonstrasi itu. Jadi pesanan saya kepada rakan-rakan mahasiswa, usah takut untuk mengkritik dasar tidak menguntungkan rakyat kerana kita ini sememangnya memegang suara rakyat," katanya.
Tambahnya, sebagai golongan yang memperolehi ilmu di universiti hasil daripada cukai rakyat, kalangan mahasiswa tidak seharusnya takut untuk bersuara bagi memastikan suara rakyat didengari. -Getaran 20 Februari 2022.