AMPANG - Menyedihkan!
Itu nasib sekumpulan pekerja asing apabila dilayan tanpa sekelumit rasa simpati hingga berada dalam keadaan yang begitu daif dan menjelikkan.
Tinggal di dalam ruang sempit dengan beratap dan berdindingkan kanvas, kisah malang 10 pekerja pembaikan cerun di Taman Melawati di sini tidak seharusnya berlaku.
Lebih menyakitkan hati, kumpulan pekerja terbabit juga dikerah bekerja bak haiwan dengan kemudahan di bawah paras minimum, termasuk kolah terbuka dan pendawaian elektrik yang dipasang sendiri.
Senario yang dibongkarkan penduduk taman berkenaan ternyata bukan setakat itu, kerana risikan mereka mendapati, kumpulan pekerja terbabit juga dinafikan hak untuk menikmati kemudahan asas seperti katil, tilam dan bantal.
Kawasan kediaman mereka juga tak ubah seperti tempat pembuangan sampah, apabila dipenuhi pelbagai bahan buangan.
Lebih membimbangkan, kedudukan pondok itu terletak di tepi longkang yang memberi risiko terhadap keselamatan pekerja.
Derita dialami kumpulan berkenaan diakui seorang pekerja Bangladesh dikenali sebagai Abdul Wahab, 40, apabila memaklumkan, sudah tiga bulan dia dan pekerja lain menetap di pondok tersebut yang kotor, tidak teratur serta busuk.
Disebabkan perkara itu, katanya, dia terpaksa mencari alternatif menyewa rumah sendiri walaupun dibebani tambahan kos bulanan, sehingga sukar menyimpan wang untuk dikirim kepada isteri dan dua anaknya di Bangladesh.
“Memang tidak selesa tinggal di pondok itu kerana boleh bayangkan 10 pekerja kena tidur di situ dengan barang semua terpaksa diletakkan di ruang sama. Sangat sempit sehingga ada antara kami, macam saya sendiri terpaksa sewa rumah lain.
“Bila ditanya kepada bos (majikan), alasan diberikan adalah pihaknya sudah mencari rumah sewa di sekitar kawasan itu, namun masih tiada. Kita memang tidak puas hati, namun apakan daya kami hanya pekerja yang tidak mampu untuk bersuara,” katanya ketika ditemui Getaran, semalam.
Bagaimanapun, selepas keadaan itu ditularkan penduduk, Abdul Wahab memaklumkan, majikan sudah mendapatkan sebuah rumah sewa di Kepong untuk dijadikan penempatan bagi semua pekerja pembinaan cerun di kawasan terbabit.
“Lagi tiga hari pekerja ini semua akan pindah ke Kepong untuk duduk rumah baharu. Jadi, saya dapat makluman bahawa tempat tinggal (pondok) tersebut harus dirobohkan dengan segera pada hari ini (semalam),” katanya yang sudah lebih 18 tahun bekerja dalam sektor pembinaan di Malaysia.
Hasil tinjauan di kawasan pembaikan cerun berkenaan mendapati, penginapan disediakan majikan itu tidak mematuhi syarat ditetapkan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Akta 446 turut mensyaratkan majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk memperoleh perakuan penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), sebelum sesuatu premis dibenar dijadikan tempat tinggal atau asrama pekerja.
Kegagalan mematuhi akta itu boleh membawa kepada denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Selain Akta 446, majikan dan penyedia penginapan berpusat juga diwajibkan mematuhi undang-undang dan peraturan berkaitan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati (TMRA), Azhari Abdul Taharim berkata, isu tersebut membuktikan kurangnya pemantauan terperinci oleh pihak berkuasa.
Katanya, semua pihak terlibat khususnya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) perlu memandang serius perkara terbabit kerana ia berkaitan hak asasi manusia walaupun pekerja bukan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Saya sudah maklumkan kepada Yang Dipertua MPAJ agar pemantauan lebih kerap diadakan kerana jika ia tidak berlaku, sudah pasti kes sebegini tidak akan dilaporkan oleh penduduk setempat.
“Paling tak logik bila kita dapat tahu alasan pekerja duduk situ sebab nak jaga barang. Macam mana MPAJ boleh dapatkan kontraktor begini yang membiarkan pekerja dianiaya macam binatang dan boleh mendatangkan pelbagai bahaya kepada mereka,” katanya.
Ditanya jika pihaknya dimaklumkan mengenai pemindahan pekerja terbabit, Azhari berkata, beliau mengetahui perkara itu selepas MPAJ memberitahu bahawa kontraktor pembinaan terlibat sudah diarahkan merobohkan penempatan tersebut serta-merta.
“Kalau tiada pengaduan, saya yakin sudah pasti pekerja warga asing tersebut akan tetap diperlakukan seperti itu dan tinggal di situ.
“Justeru, saya sangat berharap kes ini mampu dijadikan pengajaran kepada PBT untuk sentiasa terus melakukan pemeriksaan secara berkala, khususnya melibatkan isu berkaitan hak asasi kemanusiaan,” katanya. - Getaran, 6 April 2022.