KUALA LUMPUR - Angka jangkitan COVID-19 dalam negara menurun sedikit dengan 2,021 kes baharu direkodkan semalam, berbanding 2,063 kelmarin.
Berdasarkan data pada laman web COVIDNOW, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan kini meningkat kepada 4,491,503 kes.
Jumlah direkodkan itu membabitkan 2,020 kes tempatan dan satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Sebanyak tiga lagi korban COVID-19 direkodkan semalam dengan tiada kes berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Angka kematian tertinggi direkodkan di Johor dengan dua kes manakala satu kes di Pahang.
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian mencecah 35,641 dengan 7,550 daripadanya adalah kes BID.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 28,085 kes aktif COVID-19 dilaporkan di seluruh negara.
Daripada jumlah kes aktif itu, 96.1 peratus atau 26,980 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah, 18 kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), sementara 1,048 orang atau 3.7 peratus menerima rawatan di hospital.
Sebanyak 39 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Terdapat 3,162 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada virus tersebut adalah sebanyak 4,425,777 kes. - Getaran, 22 Mei 2022