web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Sekolah Ditutup, Antara Wajar Dan Dilema Ibu Bapa

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 06 May 2021 9:07AM

Semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diarahkan tutup mulai hari ini bagi mengurangkan pergerakan dalam komuniti susulan pelaksanaan PKP 3.0. - Gambar AZIM RAHMAN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Penutup sekolah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di beberapa negeri mulai hari ini sebenarnya sudah dijangka ekoran pertambahan kes COVID-19, apatah lagi apabila ia turut melibatkan kluster pendidikan.

Langkah itu ternyata mendapat sokongan ibu bapa yang bimbang dengan pertambahan kes COVID-19 yang meningkat saban hari.

Salmah Zakaria, 37, ibu kepada pelajar darjah dua di sekitar Kajang berkata, dia menarik nafas lega dengan pengumuman itu yang disifatkan sebagai wajar dilaksanakan.

“Semalam, sebelum kerajaan mengumumkan PKP 3.0, saya sudah menjangkakan sekolah akan ditutup, ekoran di tempat anak saya belajar di kawasan Sungai Ramal Luar, Kajang, terdapat banyak kes positif COVID-19 melibatkan pelajar sekolah rendah.

“Sekurang kurangnya dengan penutupan sekolah buat sementara waktu ini, mengurangkan sedikit kerisauan saya untuk menghantar anak ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Sementara itu, pendapat sama turut dikongsi Fahmi Abdullah, 35, yang merupakan bapa kepada pelajar sekolah Tadika Kemas di sekitar Selangor.

“Memandangkan anak saya masih kecil lagi dan baru berumur enam tahun, jadi saya tidak terlalu bimbang sekiranya anak-anak tidak dapat mengikuti silibus di sekolah.

“Pada saya tahap keselamatan anak lagi penting buat masa ini. Cikgu juga sudah memberikan kerja sekolah, dan kemungkinan ada ada sesi Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR),” ujar Fahmi.

Dalam pada itu, ada juga ibu bapa yang menganggap penutupan sekolah ini sedikit membebankan mereka kerana terpaksa bekerja seperti biasa dan risau sekiranya anak-anak tercicir dalam pembelajaran.

Pendapat itu disuarakan oleh Nuraisyah Kadir, 40, yang beranggapan penutupan sekolah memberi kesan kepada dirinya dan suami ekoran kedua-keduanya bekerja serta tidak mempunyai banyak masa untuk memantau setiap latih tubi atau pembelajaran anak mereka.

“Saya sokong penutupan sekolah untuk elak jangkitan COVID-19, tetapi bagaimana pula dengan pembelajaran anak-anak? Saya mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah dan saya serta suami pula bekerja dari pagi sampai petang, adakalanya terpaksa balik malam.

“Pejabat kami tidak mengamalkan cara bekerja dari rumah (BDR), jadi bagaimana kami sebagai penjaga mahu memastikan anak-anak selamat di rumah sepanjang penutupan sekolah? Itulah dilema yang kami sebagai penjaga alami. Ia bukan mudah tetapi semakin membebankan dan kami pula tiada pilihan lain. Apabila kes meningkat, lain pula cabaran kami sebagai ibu bapa penjaga,” luahnya.

Nuraisyah berkata, dia yakin ramai ibu bapa yang berkerjaya mengalami situasi sama, ekoran terpaksa menguruskan masa yang singkat bagi memastikan kerja dan keluarga dalam keadaan baik.

“Ketika PKP pertama, kami sebagai ibu bapa mengalami sedikit tekanan dan perselisihan faham dalam rumah tangga, selain terpaksa berbelanja lebih untuk menghantar anak ke kelas tambahan persendirian memandangkan sekolah tidak dibuka.

“Tetapi penutupan sekolah pada kali ini, saya harap ia boleh dikawal dengan lebih baik dengan memperbaiki dan menghargai setiap masa yang ada. Pengalaman lalu, sedikit sebanyak membantu saya dan suami untuk menguruskan kerjaya dan keluarga secara lebih produktif,” kongsinya lagi.

Dari sisi lain, Mohd Fadzil Mustafa, 42, pula berkata, penutupan sekolah akan menyebabkan pelajar terus ketinggalan.

Jelas Fadzil, dia turut mengakui ramai ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak-anak, namun bukan mudah untuk memastikan sesi PdPR benar-benar berkesan terutama bagi golongan B40.

“Pengalaman saya sendiri apabila melihat anak-anak belajar sesi PdPR sebelum ini, ternyata gagal kerana anak saya sendiri pun tak belajar dengan baik bila di rumah,” katanya.

Menurutnya, mengharapkan ibu bapa untuk memantau sesi PdPR anak-anak juga adalah sesuatu yang tidak wajar kerana kebanyakannya terikat dengan pekerjaan, selain turut mempunyai komitmen lain.

“Akibatnya ramai pelajar yang akhirnya akan hilang hala tuju pembelajarannya kerana tiada pemantauan khusus daripada guru atau ibu bapa ketika mengikuti PdPR,” ujarnya. - Getaran, 6 Mei 2021

Sorotan

1

Operasi Pencarian Sabari Meliputi Keluasan 13 Km Sungai Padang Terap

2

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

3

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

4

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

5

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

6

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia