web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Misteri 150,000 Komputer Riba, Ke Mana Hilangnya Janji Kerajaan

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 31 May 2021 2:57PM

Ibu bapa membeli komputer riba dan peranti elektronik jenis tablet untuk digunakan oleh anak-anak bagi sesi PdPR. - Gambar fail

oleh

Zaidi Azmi

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Tanggal 31 Mei 2021 seharusnya menjadi detik bersejarah buat 150,000 pelajar keluarga berpendapatan rendah, kerana mereka dijanjikan satu kemudahan yang bakal membantu melicinkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Namun entah di mana silapnya, kemudahan berupa komputer riba dan peranti elektronik jenis tablet itu masih tak kunjung jelma, walaupun PdPR sudah kerap kali dilaksanakan susulan penularan pandemik COVID-19 yang semakin mengganas.

Sehingga saat ini, tiada sebarang pengumuman dari pihak kerajaan, khususnya dua kementerian berkaitan iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan, yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia inisiatif diberi nama, Cerdik, itu.

Ia mula meraih persoalan rakyat, apatah lagi tatkala satu demi satu ulah kerajaan menjadi pertikaian.

“Salam @tzafrul_aziz. Mana komputer riba yang dijanjikan untuk PdPR?” soal seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Farhan baru-baru ini.

Pengguna yang sama turut memuat naik ciapan kedua, bertanyakan perkara sama, sejurus pengumuman penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial (total lockdown) dibuat Jumaat lalu.

"Salam @tzafrul_aziz. Dah umum total lockdown dah ni. Mana laptop pelajar untuk PdPR?" katanya menerusi ciapan berkenaan.

Kedua-dua soalan itu ditujukan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, individu bertanggungjawab mengumumkan inisiatif Cerdik itu, akhir tahun lalu.

Bukan sahaja rakyat yang tertanya-tanya dengan status terkini program berkenaan, kesatuan guru juga dilanda persoalan sama.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan berkata, beliau turut berminat untuk mengetahui perkembangan terbaru inisiatif tersebut, yang membabitkan pengagihan peranti seperti komputer riba dan tablet kepada 150,000 pelajar.

“Saya tidak mendapat apa-apa maklumat terbaru tentang inisiatif itu, tapi saya nak tahu juga apa perkembangannya.

"Saya harap pihak media akan terus menggesa mereka (kerajaan) untuk memberitahu perkembangan terkini mengenai program Cerdik. Ini adalah demi anak-anak kita,” katanya.

Beliau mengakui, hal berkaitan pembelajaran tidak akan menjadi keutamaan ketika pandemik, namun kerajaan jelasnya, tidak boleh meminggirkan terus aspek berkenaan.

Inisiatif Cerdik diumumkan oleh Tengku Zafrul, semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada November 2020, untuk menangani kekangan yang dihadapi oleh pelajar miskin ketika mengikuti sesi PdPR.

Perinciannya didedahkan pada 25 Januari 2021 oleh Yayasan Hasanah, badan yang dilantik khas untuk mengagihkan kesemua peranti berkenaan dan pada 25 April lalu, dikhabarkan seribu pelajar telah menerima peralatan dijanjikan.

Esok, penutupan penuh seluruh negara akan dilaksanakan buat kali kedua, gara-gara peningkatan mendadak COVID-19, yang merekodkan 53,442 kes baharu sejak seminggu lalu, bermula 24 hingga 30 Mei.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmy Fadzil berkata, pemberian peranti itu amat penting bagi memastikan PdPR dapat berjalan dengan lancar, khususnya ketika total lockdown mula dilaksanakan.

“Dalam menghadapi ‘lockdown’ esok, jumlah peranti yang sebanyak 150,000 itu tidak memadai dengan situasi sekarang, berbeza dengan situasi tahun lalu ketika program Cerdik diumumkan.

“Kita perlukan lebih banyak lagi peranti kerana, menurut jawapan Menteri Pendidikan di Parlimen, negara memiliki sekitar lima juta pelajar yang kebanyakannya menghadapi masalah dari segi akses kepada peranti,” jelas beliau.

Seperti Harry, Fahmi juga tidak mendapat sebarang maklumat terkini tentang perkembangan pengedaran peranti menerusi program Cerdik.

“Sekarang ini kita tidak tahu berapa banyak sekolah yang telah menerima semua peranti itu dan berapa ramai pula murid yang sudah menerima kemudahan tersebut memandangkan sekolah asyik buka tutup sekarang ini.

“Sebab inilah Parlimen perlu dibuka. Supaya para menteri boleh jawab soalan-soalan seperti ini. Sekarang, menteri seolah-olah tidak ada kebertangungjawaban bila hanya berdiam diri sahaja,” bidas Pengarah Penerangan PKR itu.

Getaran telah menghubungi Yayasan Hasanah untuk mendapatkan maklumat terkini perihal inisiatif Cerdik, namun diberitahu bahawa mereka masih menanti maklum balas dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan.

Sekadar info, peranti program Cerdik yang diberi secara pinjaman tersebut adalah sumbangan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang berada di bawah naungan Kementeri Kewangan. – Getaran, 31 Mei 2021.

Sorotan

1

Operasi Pencarian Sabari Meliputi Keluasan 13 Km Sungai Padang Terap

2

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

3

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

4

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

5

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

6

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia