KUALA LUMPUR - Sektor pelancongan negara perlu melaksanakan anjakan ke atas sasaran, strategi dan inisiatif supaya ia kekal berdaya saing dan mapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, anjakan berkenaan penting bagi memastikan kerangka, insentif dan pembangunan infrastruktur yang dibangunkan oleh kerajaan disahut dengan pelaburan sektor swasta.
Menurut beliau, penglibatan pihak swasta sebagai pemain utama dalam merencana produk pelancongan dan penyediaan sumber tenaga yang berkualiti mampu menaik taraf sektor tersebut ke aras lebih tinggi.
“Hari ini (semalam) saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 5 Tahun 2024 yang telah memberi tumpuan dan membincangkan secara mendalam perkara-perkara terkait sektor pelancongan dan pengangkutan awam.
“Turut disentuh aspek peningkatan mutu perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada “ katanya.
Jelas Perdana Menteri, ia termasuk menambah baik kualiti kemudahan perhubungan ke stesen-stesen pengangkutan rel bandar.
“Saya percaya, penambahbaikan ekosistem pengangkutan awam negara perlu diselarikan.
“Antara lain, dengan pemahaman yang diikuti dengan langkah-langkah pembetulan ke atas kekurangan semasa,” katanya. - Getaran, 2 Julai 2024