KUALA LUMPUR - Tiga pemandu bas didapati positif dadah melalui saringan air kencing dalam operasi bersepadu besar-besaran di Stesen Penguatkuasa (SPK) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gombak hari ini.
Operasi Bersepadu Bas Persiaran & Ekspres Bas itu turut melibatkan kerjasama polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).Ia bermula jam enam pagi sehingga 12 tengah hari tadi.
Semakan Getaran pada data JPJ mendapati, 49 pemandu telah diarahkan menjalani ujian saringan air kecil sepanjang operasi tersebut.
Operasi sama turut mengenakan tindakan terhadap 23 bas persiaran dan ekspres atas pelbagai kesalahan.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah memandu tanpa lesen dan tidak memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
Selain itu JPJ turut mengesan beberapa kesalahan lain termasuk kenderaan asing yang tidak mempunyai Permit Peredaran Dalaman (ICP) dan tidak mempunyai pemandu pelancong.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata operasi besar-besaran itu dibuat sebagai langkah mengesan sebarang salah laku dan ketidakpatuhan undang-undang yang dilakukan operator bas persiaran.
Loke memberitahu, operasi berkenaan akan berjalan selama beberapa minggu. - Getaran, 2 Julai 2024