KUALA TERENGGANU - Ada pihak dikesan cuba menghasut komuniti Orang Asli untuk menolak suntikan vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata, kumpulan itu telah masuk ke perkampungan Orang Asli dan menyebarkan dakyah anti vaksin hingga menimbulkan ketakutan terhadap perkara buruk yang mungkin berlaku jika mengambil suntikan berkenaan.
“Kita ada data (penghasut) tapi kita tak nak beritahu siapa, kumpulan ini masuk ke kampung- kampung Orang Asli sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.
“Orang ini mengatakan kepada Orang Asli, jangan terima vaksin sebab ia tak boleh bertahan, dan dalam dua tiga tahun (penerima) akan mati, ” katanya kepada media selepas penyerahan pek makanan di perkampungan Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu.
Abdul Rahman berkata, terpengaruh dengan fakta tidak betul yang dibaca di media sosial turut menjadi punca komuniti berkenaan menolak suntikan vaksin.
Beliau berkata perkara itu menyebabkan jumlah Orang Asli yang mahu menerima suntikan COVID-19 sangat kecil iaitu sekitar 15,300.
“Kita anggarkan penerima vaksin COVID-19 untuk Orang Asli adalah 120,000 dan borang pendaftaran temu janji diterima semula adalah sebanyak 79,410.
“Dari 79,410 borang itu, hanya 15,300 yang setuju untuk divaksin manakala selebihnya menolak. Ini satu jumlah yang besar dan sangat membimbangkan,” katanya.
Difahamkan setakat ini, hanya 3,019 Orang Asli sudah divaksin dengan 1,330 pula telah menerima dos kedua.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, pihaknya menyasarkan sehingga 14 Jun untuk pengagihan bakul makanan kepada 62,269 ketua isi rumah komuniti berkenaan.
Sementara itu, majoriti penduduk kampung Oang Asli Sungai Berua yang ditemui Getaran mengakui takut dan tidak mahu menerima vaksin COVID-19.
Seorang penduduk, Ibrahim Awang, 75 berkata, mereka sememangnya tidak mahu disuntik kerana mendengar kesan yang menakutkan berhubung vaksin tersebut.
“Memang majoriti Orang Asli di sini menolak sebab kita takut kalau jadi apa- apa kesan sampingan COVID-19 pada kita.
“Dan saya rasa orang kampung tidak perlu vaksin sebab kita tidak keluar dan tidak ada kes COVID di sini,” katanya.
Tok Batin perkampungan asli Sungai Berua Rosli Desoh,47 pula berkata, beliau kini akan cuba memujuk dan memberi penerangan kepada orang kampungnya mengenai kebaikan vaksin.
“Sekarang ini memang saya kena beri penerangan dan penjelasan bagi mereka faham penting ambil vaksin COVID-19 supaya kita boleh kerja dan keluar.
“Kita jangan takut untuk vaksin sebab ia akan menyelamatkan kita dari jangkitan COVID-19, dan itu yang saya beritahu kepada penduduk kampung," katanya. - Getaran, 8 Jun 2021