KUALA LUMPUR - Jika ada tuah dan rezeki pada hari bekerja, maka dapatlah pekerja penghantar kurier Mohd Khuzairy Muhd Amsyar bersolat di mana-mana masjid atau surau.
Namun, jika nasib tidak menyebelahi, maka terpaksalah pemuda yang berumur 33 tahun itu mendirikan solat di ruang barangan kargo lori kecilnya.
“Kalau bahagian belakang itu penuh ataupun hari itu hujan, saya solat dalam lori saja,” jelas Khuzairy.
Katanya dengan mengundurkan kerusi pemandunya ke belakang, dia dapat mendirikan solat secara duduk tanpa sebarang masalah apabila sudah berjaya membiasakan diri.
“Mula-mula tu kekok juga. Tapi, ia lebih baik daripada tak solat langsung,” ujar bekas jurutera itu, yang berdepan pemberhentian kerja akibat kemelut ekonomi, susulan pandemik COVID-19.
Kesusahan Khuzairy untuk bersolat di masjid dan surau dirasai hampir semua umat Islam di Malaysia kerana menurut prosedur operasi standard (SOP), semua premis berkenaan hanya dibenarkan menerima kedatangan ahli kariah.
Peraturan berkenaan jelas tidak memihak kepada pekerja dalam sektor penghantaran barangan dan makanan yang memerlukan mereka untuk sentiasa bergerak ke pelbagai lokasi.
Selain dari kesusahan untuk bersolat, ada penghantar makanan e-hailing, yang terkenal dengan jolokan “riders”, mengeluh kepada Getaran bahawa “lockdown” kali ini banyak memberi kesan negatif kepada punca pendapatan mereka.
“Pendapatan kami semakin terjejas. Sudah tak ramai orang yang memesan makanan melalui aplikasi penghantaran makanan. Satu hari nak dapat 10 pesanan pun susah,” jelas rider, Qosim Joeharudin, 28, dari sebuah syarikat penghantaran makanan terkemuka.
Menurut Qosim, kebanyakan pelanggan sudah mula merasai bahang caj penghantaran serta cukai tambahan nilai (VAT) yang dikenakan bagi setiap penghantaran.
“Orang ramai sudah kekurangan wang, jadi mereka sudah semakin berasa terbeban dengan caj servis penghantaran makanan.
“Malah saya lihat jiran-jiran saya yang sebelum ini selalu membuat pesanan pun telah memborong barangan mentah dan keperluan sebelum lockdown ini dikuatkuasakan,” kata Qosim.
Pada 1 Jun lalu, Malaysia telah melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh atau “Total Lockdown” susulan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19.
Ia sepatutnya berakhir pada 14 Jun lalu, namun telah dilanjutkan sehingga 28 Jun kerana jangkitan harian yang masih tinggi iaitu melebihi 5,000 kes sehari.
Sepanjang tempoh ini juga, restoran serta premis perniagaan makanan hanya dibenarkan beroperasi bermula dari jam 8 pagi hingga 8 malam.
Peraturan ini juga turut disifatkan oleh seorang lagi rider, Adrian Abdul Arif, 42 sebagai satu kekangan, susulan pengurangan waktu berkerja hingga turut memberi kesan kepada jumlah pesanan yang boleh diambil.
“Tapi kalau kami bernasib baik, ada pesanan yang masih terlepas masuk selepas pukul 8, kami akan hantar juga. Rugi kalau tak buat,” katanya. - Getaran, 19 Jun, 2021.