KUALA LUMPUR - Sidang Parlimen bakal diadakan dalam masa terdekat, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Bagaimanapun, beliau yang sebelum itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, tidak menyatakan sama ada sesi terbabit akan berlangsung secara bersemuka atau menggunakan kaedah hibrid.
"Terima kasih atas keprihatinan dan kita hargai kuasa Yang di-Pertuan Agong semasa darurat.
"Insya-Allah, apa yang dicadang dan dititahkan oleh Al-Sultan Abdullah, juga melalui nasihat Perdana Menteri untuk membuka Parlimen, kita akan jumpa tidak lama lagi melalui kaedah biasa atau hibrid," katanya kepada pemberita selepas sesi menghadap itu, hari ini.
Mohd Rashid memaklumkan, sembah hadap selama kira-kira satu jam bermula 12 tengah hari itu turut disertai Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun; Timbalan Speaker Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin, mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan.
Perkara itu, katanya, bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
"Selain itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti serta bertanggungjawab.
"Ia termasuk menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan, termasuk perbelanjaan negara," katanya. - Getaran, 29 Jun 2021