KUALA LUMPUR - Keputusan teknikal berkenaan krisis kesihatan sepatutnya datang hanya daripada Ketua Pengarah Kesihatan, sesuatu yang gagal dilakukan oleh pemangku jawatan sekarang, Dr Noor Hisham Abdullah, dengan Malaysia terus bergelut untuk mengawal COVID-19.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan negara, Tan Sri Dr Mohamed Ismail Merican hairan bagaimana Dr Noor Hisham telah membenarkan beberapa keputusan kontroversial dengan jumlah jangkitan yang naik secara mendadak.
Ini termasuk membenarkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan pembukaan bazar Ramadan, walaupun dengan peraturan ketat, awal tahun ini.
“Semasa saya menjadi Ketua Pengarah, arahan saya sentiasa diikut, kerana perdana menteri menyokongnya.
“Ketua pengarah sekarang seperti harimau tanpa taring, tiada siapa mahu mendengar nasihatnya.
“Jika tiada siapa mahu mendengar cakap kita, ia bermaksud kita telah gagal menepati jangkaan. Jika saya menjadi ketua pengarah saya tidak akan benarkan sambutan Hari Raya.
“Semestinya saya akan memberikan sebab yang munasabah, dan mendengar pendapat orang lain. Kita mesti diplomatik dalam situasi ini. Tetapi keputusan itu akan dibuat oleh saya,” beliau berkata dalam satu webinar yang dihoskan oleh wartawan veteran Datuk Seri Wong Chun Wai malam kelmarin.
Jawatan Ketua Pengarah adalah antara yang paling penting dalam Kementerian Kesihatan, dan individu yang memegang jawatan ini harus tegas dengan keputusan yang difikirkan perlu untuk mengawal jumlah kes jangkitan, di tengah spekulasi bahawa Dr Noor Hisham ditekan oleh ahli politik untuk berbuat sebaliknya.
Dengan petugas kesihatan berdepan dengan lesu maya, Dr Noor Hisham sepatutnya turun padang dan melawat staf barisan hadapan dan memberikan sokongan kepada mereka, kata Dr Ismail.
Beliau bersara daripada perkhidmatan awam pada 2011 selepas 35 tahun berkhidmat. Di antara pencapaian beliau adalah mengetuai pengurusan wabak sindrom pernafasan akut (SARS) negara pada 2003.
Berkata tentang bagaimana satu keputusan boleh dibuat bila ada gangguan daripada ahli politik, bekas Dewan Perubatan Malaysia itu berkata:
“Saya suruh mereka diam (jangan membuat komen kepada orang ramai).”
Beliau menambah dalam membuat pengumuman dan memberi penjelasan kepada rakyat umum, seelok-eloknya hanya seorang sahaja jurucakap mewakili kerajaan, dengan syarat individu itu telah berbincang dengan pemegang taruh yang berkaitan.
Perkara teknikal membabitkan pengurusan COVID-19 harus diserahkan kepada Ketua Pengarah dan menteri kesihatan sepatutnya menjadi satu-satunya jurucakap berkenaan keputusan berkait dengan polisi.
Dr Ismail berkata yang beliau terpanggil untuk bersuara selepas melihat bagaimana kerajaan gagal menguruskan krisis kesihatan ini dengan baik, lebih dari setahun sejak ia bermula.
Katanya, antara perkara yang boleh diperbaiki adalah koordinasi dan kolaborasi dengan entiti lain, meminta bantuan sektor swasta, meningkatkan ujian saringan dan mengenal pasti dan mengeluarkan perintah berkurung terhadap kawasan berisiko tinggi.
Beliau juga meminta Putrajaya untuk mengawal kos ujian saringan RT-PCR, yang boleh memberi keputusan lebih tepat, selepas mendengar golongan berpendapatan rendah memilih untuk bergelumang dengan virus itu dan berkemungkinan menjangkiti orang lain daripada diuji.
Dr Ismail mengkritik pentadbiran Perikatan Nasional selepas tidak mahu mengakui kegagalan dan kelemahan dalam strategi pandemik, beliau juga menekankan seluruh masyarakat harus membantu mengatasi situasi ini.
“Ada kita dengar menteri meminta bantuan? Tiada.
“Bagi saya seluruh negara harus bersatu dan memberikan input ... kita tidak boleh memberi gambaran yang keadaan sekarang baik-baik sahaja. Ini adalah satu krisis,” katanya
Mengetepikan cadangan yang sistem penjagaan kesihatan awan telah gagal, beliau percaya yang petugas kesihatan semua telah memberikan yang terbaik untuk mengatasi situasi ini.
Tetapi dengan kes jangkitan yang melampau, sokongan daripada sektor swasta diperlukan. - Getaran, 18 Julai 2021.