MARANG- Seorang Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) maut dipercayai ditembak rakan baiknya sendiri hari ini.
Kejadian berkenaan turut menyebabkan anak saudara mangsa yang berusia 45 tahun cedera di bahagian dada.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan insiden itu kira-kira jam dua petang, sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi iaitu di Taman Raya, Wakaf Tapai di sini.
"Maklumat diterima menyatakan ada kejadian tembak melibatkan seorang lelaki Cina yang mati di tempat kejadian.
"Manakala seorang lagi lelaki Cina berumur 45 tahun pula cedera parah dipercayai ditembak di bahagian dada dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya kepada media di sini.
Rohami berkata, suspek yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah menembak mangsa, Fong Swee Fuan berusia 65 tahun dengan menggunakan senapang patah milik RELA.
"Suspek yang juga seorang lelaki berbangsa Cina berusia 57 tahun melepaskan dua das tembakan.
"Dia turut mengancam untuk melakukan sebanyak mungkin pembunuhan sebelum membunuh diri, menggunakan baki 75 butir peluru yang dimiliki," katanya.
Menurut beliau, suspek melarikan diri selepas kejadian namun berjaya diberkas pada jam 4.20 petang di sekitar kawasan kebun di Durian Mentagau, Dungun.
"Polis masih menyiasat motif kejadian dan meminta bantuan saksi untuk tampil membantu siasatan," katanya.
Sementara itu adik mangsa, Fong Swee Heng, 59, berkata, dia masih terkejut dengan insiden tersebut, apatah lagi suspek adalah rakan baik abangnya yang dikenali sejak kecil.
Pemilik kedai emas itu memberitahu, abangnya yang juga bekas Ketua Bahagian MCA Marang itu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.
"Saya memang ada di kawasan sini dan mendengar dua bunyi letupan, tapi beranggapan ia adalah mercun pada mulanya.
"Apabila mengetahui abang ditembak, saya bergegas ke lokasi dan terserempak dengan suspek di pertengahan jalan. Suspek sempat memberitahu saya bahawa dia telah menembak abang sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah pacuan empat roda," katanya. - Getaran, 23 Julai 2021