KUALA LUMPUR: Kesengsaraan rakyat hari demi hari akibat COVID-19 dan krisis politik dihadapi Malaysia yang semakin meruncing ketika ini membuatkan seorang lelaki nekad mengadakan mogok lapar bermula semalam sehingga lima tuntutannya dipenuhi kerajaan.
Menerusi foto yang dikongsi di media sosial, Nathaniel Tan, 40, dilihat duduk di kaki kaki lima premis di Jalan Rahim Kajai dan Lorong Rahim Kajai 14 di Taman Tun Dr Ismail di sini, lengkap bersama sebuah beg galas dan khemah untuk digunakan pada waktu malam.
"Saya memulakan mogok lapar. Lima tuntutan. Ini masanya untuk bertindak. Cukuplah bercakap, kenyataan media dan perbualan WhatsApp,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Antara lain lima tuntutan dikemukakan Nathaniel itu mendesak supaya kuasa membuat keputusan berhubung COVID-19 diberikan sepenuhnya kepada pakar dan sekiranya tindakan itu gagal dilakukan, sidang Parlimen perlu diadakan segera.
Beliau juga menuntut kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM500 juta, bagi kegunaan pihak hospital dalam merawat pesakit COVID-19 dan ia tidak boleh disalurkan melalui birokrasi hospital, malah doktor perlu diberi kebebasan untuk menyenaraikan peralatan.
“Ketiga, setiap petugas barisan depan dibenarkan mendedahkan keadaan sebenar di lapangan tanpa risau dengan tindak balas dan tapisan, selain tidak dihalang menerbitkan semua data berkaitan pandemik.
“Keempat, penerbitan senarai penuh syarikat yang masih dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dibuat, memandangkan terlalu banyak cerita mengenai majikan yang memaksa pekerja datang bekerja walau tugasan mereka boleh dilakukan di rumah,” tegasnya.
Menurut Nathaniel, pelitup muka jenis N95 dan cecair pembasmi kuman perlu dibekalkan secara percuma di hospital dan balai polis, sesuao dengan tugas mereka yang penuh berisiko.
“Di saat ramai bersedih atas kehilangan ahli keluarga akibat COVID-19, tidak banyak dilaksanakan untuk mengatasi situasi itu, seolah-olah ‘tiada tindakan dan semakin ramai terkorban dalam perang’,” tegasnya.
Lebih membimbangkan jelas beliau, pemimpin politik masih ghairah berebut kuasa, malah mahu mengheret krisis mereka sehingga September, sekali gus memburukkan lagi situasi yang pastinya tidak boleh diterima rakyat.
"Mahatma Gandhi menundukkan empayar British tanpa menembak walau sebutir peluru. Beliau mengikut dua prinsip mudah, iaitu tidak menyerah dan tidak merosakkan.
"Mungkin kita tidak boleh mencapai apa yang dicapai (Mahatma) atau mungkin boleh, tapi kita boleh buat apa yang dilakukannya," katanya.
Nathaniel berkata, tindakan mogok lapar dilakukannya itu sebagai menunjukkan usaha yang boleh dilakukan mana-mana rakyat Malaysia dalam menuntut situasi dipulihkan.
“Saya akan lakukan yang terbaik untuk kekal mogok di sudut ini dan tidak makan sehinggalah lima tuntutan saya dipenuhi.
"Kita perlukan perubahan. Saya tidak boleh lagi duduk dan hidup seperti biasa di saat semakin ramai mungkin terkorban akibat kecuaian dan ketidakcekapan," katanya lagi. – Getaran, 5 Ogos 2021