Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana mengakui tidak perlu berlakon sebagai dirinya sendiri dalam drama ‘Aku Seorang Perempuan’ yang diinspirasikan daripada kisah benar hidupnya.
Sebaliknya watak ‘Siti Nordiana’ tersebut dijayakan pelakon Atikah Suhaime dalam drama 13 episod yang sedang ditayangkan di TV9, setiap Sabtu dan Ahad jam 7:30 malam.
“Sebenarnya bagi saya, lebih bagus jika pelakon lain membawakan watak saya supaya penyampaian dan penghayatan akan jadi lebih berkesan berbanding saya yang membawa watak itu sendiri.
“Kalau saya yang bawa, saya akan jadi lebih risau berkenaan penyampaian lakonan saya serta risau jika ‘feel’ itu tak sampai nanti, dan orang mengata saya pulak. Memang itu kisah tentang diri saya tetapi tak semestinya saya yang perlu melakonkan watak diri sendiri,” katanya.
Menurut penyanyi yang lebih mesra disapa sebagai Nana itu, walaupun drama tersebut diinspirasikan daripada biografinya, namun ia bukanlah 100 peratus kisah benar mengenai dirinya
“Tidak semua kisah hidup saya diangkat dalam drama ‘Aku Seorang Perempuan’. Ia bukan 100 peratus diterjemahkan.
“Namun, jalur kerjaya dalam drama ini memang berkisarkan kerjaya saya secara lebih mendalam dari zaman kanak-kanak, persekolahan hingga bergelar penyanyi.
“Apabila kisah digarap sebagai biografi oleh penulisan Datuk Tengku Khalidah yang saya panggil sebagai Kak Long, kebanyakanya menceritakan tentang rahsia kehidupan saya dari kecil sehingga sekarang.
Tambah penyanyi ‘Hati Milikmu’ itu, drama berkenaan memaparkan hampir 70 peratus kisah sebenar mengenai diri serta kerjayanya.
“Ada bahagian yang saya rasa terlalu peribadi untuk dikongsi umum dan saya tak rasa pun sedang membuka aib sendiri.
“Jadi, mungkin selepas menonton drama ‘Aku Seorang Perempuan’ ini, ramai akan lebih faham apa yang saya lalui, dan kisah ini bukan bertujuan untuk memalukan saya atau mana-mana pihak.
“Saya juga berharap agar perkongsian ini dapat menjadi semangat dan panduan kepada wanita-wanita lain untuk meniti arus kehidupan yang penuh mencabar ini,” ujarnya.
Drama adaptasi dari biografi novel Siti Nordiana, ‘Bukan Perempuan Biasa’ ini mengisahkan tentang Siti Nor Aisya (Atikah Suhaime), seorang penyanyi muda yang sedang mengecapi populariti dan mempunyai ramai peminat yang menjadi sokongan kuat dalam kerjayanya.
Siti Nor Aisya bertemu cinta dengan seorang pelakon popular, Fareez (Fezrul Khan). Mereka berdua berkahwin atas dasar cinta. Bagi Siti Nor Aisya, dia sanggup mengorbankan kerjayanya yang sedang berada di puncak kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangga.
Adriana (Adriana Adnan) ialah seorang pelakon yang berkawan baik dengan Fareez. Adriana mempunyai masalah dengan kekasihnya, dan sering menemui Fareez untuk meluahkan masalah.
Hubungan mereka menjadi semakin akrab dan ia mula menimbulkan rasa tidak senang dalam hati Siti Nor Aisya. Mahligai cinta yang dibina mula goyah dan diuji.
Akhirnya, Siti Nor Aisya diceraikan ketika anak mereka masih kecil. Dalam saat dia perlu bangkit dan mencari kekuatan untuk menyara anak kecilnya, Siti Nor Aisya diuji lagi dengan kehilangan teman baik sejak kecil iaitu Hakim (Hafidz Roshdi) yang juga teman seperjuangannya dalam bidang nyanyian.
Bagaimanakah Siti Nor Aisya mencari kekuatan dalam hidupnya untuk terus berjuang?
Drama hasi inspirasi kisah hidup penyanyi Siti Nordiana ini dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Atikah Suhaime, Fezrul Khan, Adriana Adnan serta Hafidz Roshdi. – Getaran, 30 November 2022.