Tidak kering gusi! Itulah reaksi pertama penulis saat menonton filem komedi seram Hantu Tenggek arahan dan garapan Profesor A. Razak Mohaidden.
Filem komedi seram ini mengadunkan jenaka selamba dan disusuli dengan keadaan seram yang bersahaja. Sekali gus membuktikan bahawa A. Razak sebenarnya mampu menghasilkan filem genre yang sebegini.
Biarpun ia garapannya nampak ringkas, namun ada banyak ‘kejutan' yang cuba dihidangkan kepada penonton sehingga membuatkan filem ini penonton berasa senang dan terhibur.
Apa yang menarik, Hantu Tenggek juga merupakan filem Melayu sulung terbitan Veedu Production selepas kejayaan syarikat produksi tempatan itu menerbitkan filem berjudul Vedigundu Passangge yang mencatatkan kutipan tertinggi dalam sejarah penerbitan filem Tamil di Malaysia.
Nampaknya, percubaan mereka untuk menghasilkan filem sulung Melayu yang pertama ini bersama MGE Production benar-benar menjadi apabila mereka menggunakan khidmat A. Razak sebagai pengarahnya.
Hantu Tenggek mengisahkan tentang kelicikan sekumpulan pemburu mistik yang menggelar diri mereka sebagai AUTAA, singkatan nama kumpulan mereka iaitu watak Aishah, Usop, Tariq, Ali dan Ana.
Mereka bertindak menakut-nakutkan orang kampung dengan mengada-adakan entiti dan seterusnya bertindak menghapuskan entiti tersebut.
Kegiatan mereka terbongkar dan sebagai balasan mereka diminta untuk membantu menghalau pembeli bangunan tinggal yang dahulunya sebuah kolej seni tari dan vokal.
Percubaan mereka untuk menakutkan pembeli bangunan itu tersekat apabila mereka didatangi oleh ‘Hantu Tenggek’ yang sememangnya adalah penghuni tetap bengunan tinggal tersebut.
Bermula detik itu, satu demi satu kejadian seram berlaku kepada mereka bagi melunaskan ‘misi’ tersebut.
Gabungan kombinasi pelawak veteran seperti Saiful Apek, Yassin, Man Raja Lawak bersama kumpulan TIRO (Juara Maharaja Lawak 2021) dalam filem ini juga adalah satu tarikan utama filem ini.
Lawak-lawak Saiful Apek dengan Yassin, memang seringkali menjadi. Namun, mereka juga cukup serasi bila digabungkan dengan Man Raja Lawak serta kumpulan Tiro. Bahkan, kesemua mereka mampu mengangkat elemen komedi filem ini dengan lontaran dialog yang lucu dan bersahaja.
Namun, babak yang cukup diingati adalah babak apabila salah seorang pelakon filem ini iaitu Sugeeta Chandran tiba-tiba dirasuk dan kemudian membuat tarian Melayu. Sugeetha berjaya membawakan babak rasuk itu dengan berkesan sekali.
Ingin tahu plot keseluruhan Hantu Tenggek? Anda harus menontonnya di pawagam. Hantu Tenggek mula ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula semalam (22 Disember) - Getaran, 23 Disember 2022