Seramai 14 peserta bakal bersaing bagi merebut gelaran juara dalam program realiti hiburan ‘Big Stage’ musim kelima yang bakal bersiaran pada Mei ini .
Program yang mengangkat bakat baru dengan jolokan, Budak Baru Nak Up (BBNU) ini akan terus mengambil peserta dari luar negara iaitu Indonesia, Brunei, Singapura dan Korea Selatan.
Daripada 14 peserta yang mengambil bahagian, 10 adalah adalah bakat daripada Malaysia iaitu Isaac Voo, Firdaus Rahmat, Meer Nash, Naufal Azrin, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad, Nadeera Zaini, Dem Lepak Boyz (Duo) serta kumpulan M-pop perempuan, COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan.
Buat julung kalinya juga, ‘Big Stage’ musim kali ini turut menampilkan peserta berkumpulan dan duo sebagai bintang yang akan bersaing bersama di atas pentas untuk memberi lebih ruang kreativiti dan versatiliti dalam setiap persembahan bagi merebut gelaran sebagai ‘Juara’ buat edisi terbaharu ini.
Menariknya tahun ini, kerusi juri tetap bakal menjadi milik Aina Abdul selepas kemunculannya sebagai juri jemputan di pentas akhir ‘Big Stage’ musim lalu.
Kehadiran Aina sebagai juri ditemani seorang lagi juri tetap yang akan diperkenalkan di konsert minggu pertama.
Tugas sebagai pengacara turut diberi kepada wajah baharu iaitu, Kak Lina Pom Pom, bagi memeriahkan lagi transformasi ‘Big Stage’ musim kelima yang membawa tema pertandingan nyanyian yang didominasi bakat-bakat muda dengan membawa generasi ‘BBNU’.
Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh menjelaskan, transformasi ‘Big Stage’ musim kelima ini adalah bagi memastikan setiap rancangan signature hak milik Astro yang sukses akan kekal berdaya saing dan relevan dalam industri yang kian berubah.
“Antara Signature terbesar Astro, kami mahu memastikan kualiti produksi sentiasa tinggi dan pembaharuan yang dilakukan berada di atas penanda aras industri.
“Oleh itu, kami telah melakukan beberapa perubahan besar dalam musim baharu ‘Big Stage’ termasuk pemilihan para peserta.
“Antara peserta yang dipilih untuk menerajui musim kali ini mempunyai pengalaman yang extensive dalam industri seni tanah air khususnya nyanyian.
“Pemilihan mereka sejajar dengan apa yang kami inginkan iaitu memberi hiburan sepenuhnya kepada para penonton yang gemarkan rancangan nyanyian kami,” katanya.
Jelas Norzeha lagi, anak muda sekarang, gemarkan rancangan berunsurkan nyanyian yang kompetitif dengan pelbagai cabaran dan genre.
Justeru itu, pihak Astro lantas memilih barisan peserta yang bakal merebut gelaran ‘Juara Big Stage 5’ daripada generasi BBNU yang berpengalaman, bijak dari segi persembahan serta multi-talented termasuk peserta berkumpulan dan duo daripada dalam dan luar negara.
“Dengan keterujaan ini, kami berharap ia mampu melonjakkan posisi kami sebagai platform rancangan hiburan utama rakyat Malaysia serta dalam dunia hiburan.
“Pembaharuan turut melihat kami memilih hos dan juga barisan juri baharu yang kaya dengan pengalaman dalam mengemudi acara-acara gah,” ujarnya.
Tambah Norzeha, istimewa menjelang ‘Big Stage’ musim kelima, sebuah program khas yang memaparkan barisan pesertanya buat pertama kalinya bakal ditayangkan pada Syawal nanti iaitu pada 29 April dan 30 Jun.
“Astro juga akan turut membawa sebuah rancangan iaitu ‘Big Stage Bootcamp’ yang akan memaparkan sesi latihan intensif para peserta sebelum bermula konsert mereka di pentas ‘Big Stage’ nanti.
“Setiap latihan serta cabaran adalah berkait dengan pertandingan ‘Big Stage’ serta pengalaman yang bakal mereka hadapi dalam industri hiburan.
“Para peserta akan ditempatkan di sebuah rumah besar bergelar ‘The Big House’ dan di situ jugalah mereka akan belajar dan menerima cabaran-cabaran yang akan menyerlahkan lagi karakter mereka kepada penonton,” jelasnya.
Pentas pertama Big Stage bakal dibuka pada 7 Mei 2023 dan akan berterusan selama sepuluh minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam.
Juara ‘Big Stage 5’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro. Manakala tempat kedua dan ketiga akan membawa pulang RM30,000 dan RM25,000 beserta trofi, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM15,000, RM5,000 dan RM5,000 beserta trofi. - Getaran, 12 April 2023.