Sama ada ingin bercuti panjang atau mencari penginapan ideal untuk acara di hujung minggu, Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil boleh memenuhi keperluan anda.
Terletak hanya beberapa meter dari pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil, hotel ini menjanjikan penginapan selesa dengan pelbagai kemudahan yang selalu diimpikan oleh ramai orang apabila ingin menginap di sebuah hotel.
Satu perkara yang anda mesti tahu ialah, Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil adalah hotel mesra haiwan peliharaan pertama di Bukit Jalil. Ia menawarkan ‘Petcation Paw-fect’ untuk mereka yang ingin membawa haiwan kesayangan ketika bercuti.
Pelaksanaan konsep ini adalah sebahagian daripada komitmen mereka untuk memberi layanan luar biasa kepada tetamu yang ingin menikmati sebuah percutian bersama si comel yang telah dianggap sebagai ahli keluarga.
Setiap bilik mempunyai keluasan yang selesa dan serba lengkap, direka untuk memastikan tetamu dan haiwan peliharaan dapat menikmati penginapan yang santai dan bebas tekanan. Seorang petugas akan membersihkan bilik selepas tetamu dan si comel mendaftar keluar.
Namun, perlu diingatkan, anda perlu maklumkan hotel terlebih dahulu jika ingin membawa haiwan peliharaan (anjing tidak dibenarkan) kerana pihak hotel perlu membuat persediaan awal. Jadi adalah lebih baik jika anda buat tempatan secara terus dengan hotel.
Berbaloi Atau Tidak?
Memandangkan hotel ini jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur, pasti ada yang tertanya-tanya sama ada berbaloi atau tidak untuk menginap ke sini. Baiklah, ia bergantung kepada tujuan dan kehendak persinggahan anda.
Jika anda hanya ingin berehat dan bermalasan-malasan atau bahasa popularnya ‘staycation’, Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil adalah pilihan yang baik. Dengan fasiliti yang serba lengkap, anda boleh memaksimumkan pengalaman bercuti di sini dengan sebaiknya.
Selain bermalas-malasan di bilik sambil menonton televisyen, anda juga boleh menggerakkan badan dengan berenang di kolam renang infiniti yang terletak di bumbung hotel atau berkunjung ke pusat kecergasan juga di tingkat yang sama.
Jika membeli-belah adalah aktiviti kegemaran, panjangkan sahaja langkah ke Pavilion Bukit Jalil yang boleh diakses hanya dengan berjalan kaki. Berbelanjalah dengan sepuas-puasnya dan sudahi hari anda dengan menjamu selera di salah satu restoran kegemaran yang ada di sana.
Satu lagi sebab untuk pertimbangkan hotel ini sebagai pilihan persinggahan ialah jika anda punya acara konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil. Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil pastinya adalah pilihan ideal.
Dengan jarak kurang dari lima kilometer, anda boleh atur masa dengan lebih selesa. Boleh memandu ke stadium dengan sendiri, atau pesan sahaja perkhidmatan e-hailing. Paling penting, anda tidak perlu berlama-lamaan di dalam kenderaan dek terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas.
Hotel ini mempunyai 250 bilik dan suite yang boleh dijadikan pilihan. Waktu daftar masuk adalah pada jam 3 petang dan waktu daftar keluar pada jam 12 tengah hari.
Bagaimanapun, anda boleh minta lanjutan masa untuk mendaftar keluar, namun kelulusan bergantung kepada permintaan bilik.
Jamu Selera Di Hotel
Jika bilik yang ditempah beserta dengan sarapan pagi, ini bermakna anda akan menjamu selera di Kuang’s yang terletak di lobi hotel.
Restoran ini menyajikan pelbagai hidangan Malaysia yang memikat selera, yang resipinya disediakan oleh barisan chef berpengalaman. Tentang bufet sarapan pagi, pilihan menu agak terhad, tetapi masih berbaloi untuk dinikmati kerana anda boleh memulakan hari dengan secawan kopi pilihan. Ada americano, latte, dan cappucino. Jika kopi bukan kegemaran, pilihan teh juga tersedia.
Untuk pilihan makanan tengah hari, apa kata anda cuba set nasi ayam yang resipinya ‘diimport’ khas dari JP Teres, Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Hidangan kegemaran rakyat Malaysia ini sememangnya menjadi buah mulut kerana keaslian rasanya dan sejak diperkenalkan ia menjadi salah satu menu yang paling laris di JP Teres sehingga pihak restoran menjadikan nasi ayam ini sebagai kek harijadi.
Selain itu, terdapat beberapa lagi pilihan set makan tengah hari yang boleh dipilih seperti set rendang daging. Selain terpesona dengan kelembutan dagingnya, rendang ini juga mewah dengan rasa yang memikat selera.
Pendek kata, tak perlu susah-susah keluar dari hotel, segalanya tersedia di Hyatt Place Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut dan promosi terkini, sila layari laman sesawang hotel ini atau emailkan pertanyaan anda di kualalumpur.place@hyatt.com. - Getaran, 9 November 2024