KUALA LUMPUR - Selepas tular di media, kisah seorang guru yang berdepan masalah selepas pertukarannya ke Semenanjung tidak diluluskan, mula mendapat perhatian.
Jurucakap Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, kementerian sememangnya prihatin dengan situasi sukar didepani guru terbabit ketika ini.
Menurut beliau, tindakan segera untuk memberi bantuan sedang diambil.
“Guru berkenaan telah diberikan cuti untuk berada bersama-sama dengan isterinya.
“Satu pertemuan dengan beliau akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit,” katanya hari ini.
Jelas jurucakap itu, KPM sentiasa mendoakan kesembuhan isteri guru berkenaan.
“Kementerian akan memastikan kebajikan beliau dan keluarga terpelihara,” katanya.
Getaran sebelum ini melaporkan, guru terbabit, Mohammad Izzuddin Izhar, 34, ketika ini mengajar subjek Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Wok, Kanowit, Sarawak.
Beliau berdepan masalah apabila isterinya, Nur Atiqah My Yusoff, 30, didiagnos dengan kanser tulang rawan (Mesenchymal Chondrosarcoma) pada November tahun lalu.
Kehidupan pasangan berkenaan menjadi sukar apabila permohonan Izzuddin atau turut dikenali sebagai Cikgu Din untuk bertukar ke Semenanjung, tidak diluluskan walaupun penyakit isterinya semakin kritikal.
Atiqah memberitahu Getaran, kanser dialaminya disahkan sebagai agresif dan sudah berada di tahap empat.
“Atas faktor ini, doktor menyarankan agar suami sentiasa berada di sisi kerana jaminan untuk saya bertahan lama terlalu tipis,” katanya.
Jelasnya, sel kanser itu juga disahkan sudah merebak ke paru-paru, malah kadar kelangsungan hidup yang dijangkakan doktor adalah kurang daripada 10 peratus bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Atiqah yang juga seorang suri rumah memberitahu, Izzuddin telah memohon untuk ditukarkan ke Semenanjung sebaik sahaja penyakit isterinya disahkan namun gagal menerima respon positif.
“Suami saya dah mintak untuk ditukar balik ke Semenanjung dari mula-mula saya didiagnos lagi tapi sampai ke sekarang tiada khabar berita.
“Bila suami naik pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, pegawai yang menguruskan kata tak boleh,” katanya, sedih.
Atiqah berkata, suaminya dimaklumkan oleh pegawai bertugas bahawa dia perlu menyandang status perjawatan tetap selama 36 bulan sebelum boleh memohon untuk pertukaran.
“Kena tunggu 36 bulan dulu baru boleh memohon sedangkan suami saya dah berkhidmat di Sarawak masuk tahun keempat sebagai guru kontrak, cuma tetap (status perjawatan) baru tahun lepas dapat,” katanya.
Lebih menyedihkan, Getaran diberitahu Izzuddin juga disahkan mengalami kemurungan (MDD) oleh pakar psikiatri.
“Saya tahu semua ini berpunca daripada masalah yang kami hadapi. Suami juga perlu menanggung kos tinggi untuk penerbangan dari Sibu ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua atau tiga minggu,” katanya. - Getaran, 24 Oktober 2024