KUALA LUMPUR - Malaysia dan komuniti antarabangsa perlu memberi tekanan berterusan ke atas Israel dan melaksanakan gencatan senjata dengan segera bagi membolehkan bantuan ubat, makanan serta keperluan kemanusiaan lain dihulurkan kepada rakyat Palestin.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan disuarakan ketika menghadiri Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, Isnin depan.
Menurut Perdana Menteri, kehadiran beliau ke sidang tergempar itu adalah bagi membawa mandat Dewan Rakyat iaitu mengambil tindakan bagi menghentikan kekejaman berterusan Israel ke atas rakyat Palestin dan pencerobohan dan pemusnahan pusat-pusat ibadah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT).
“Sidang ini juga akan membincangkan serangan terbuka ke atas wilayah-wilayah di Lubnan dan Iran, termasuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar,” katanya pada sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas Anwar, persidangan tersebut juga bakal membincangkan Selain itu juga, persidangan ini akan membincangkan permasalahan semasa yang dihadapi oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), susulan keputusan rejim Zionis itu mengharamkan operasi pertubuhan berkenaan 28 Oktober 2024 lalu.
“Untuk menggerakkan Special Committee against Apartheid di PBB ke atas Israel, Malaysia akan mengusulkan ke Persidangan Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam agar sokongan sepenuhnya diberikan kepada UNRWA dalam melaksanakan mandatnya dalam memberi perkhidmatan sosial dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di OPT dipertahankan dan diperkukuhkan.
“Malaysia berhasrat menggunakan Sidang Kemuncak ini untuk meraih sokongan negara-negara Arab dan Islam terhadap inisiatif tersebut dan menghalang pelaksanaan keputusan Parlimen Israel (Knesset) pada 28 Oktober lalu, yang bertujuan melenyapkan UNRWA dan memburukan situasi kemanusiaan di utara Gaza yang mengalami kebuluran setelah terputus bantuan asas sejak sekian lama,” katanya.
Tegas Perdana Menteri, antara pendekatan yang boleh diambil adalah sokongan oleh Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam ke atas usaha mediasi gencatan senjata oleh Amerika Syarikat, Mesir, dan Qatar.
Sejak Mei lepas katanya, ketiga-tiga negara ini telah membangunkan satu kerangka perjanjian yang perlu dipersetujuiboleh semua pihak yang terlibat.
“Penyertaan Malaysia sebagai ahli Perikatan Global juga sebahagian usaha untuk meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Israel bagi melaksanakan gencatan senjata kekal di Gaza, menggesa pembebasan tahanan Palestin dan menangani penderitaan rakyat Palestin menerusi penyambungan segera bantuan kemanusiaan,” katanya.
Anwar memberitahu, langkah seterusnya ialah membincangkan pembangunan Pelan Tindakan dan mengenal pasti langkah-langkah konkrit ke arah mencapai kemerdekaan Negara Palestin dalam tempoh garis masa yang munasabah dan jelas.
“Sebagai sebuah negara yang mendukung prinsip keadilan dan perundangan antarabangsa, Malaysia komited dalam memperjuangkan hak Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, menerusi dialog, kerjasama, dan penyelesaian yang adil.
“Malaysia berpandangan pendekatan ini adalah penting ke arah mencapai kestabilan dan keamanan kekal di Timur Tengah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga telah menyediakan satu draf resolusi untuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA).
Draf berkenaan antara lain jelasnya, mencadangkan agar Israel disingkir sebagai anggota pertubuhan itu sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang, hukum dan keputusan dalam isu membabitkan Palestin. - Getaran, 4 November 2024