web statsweb stats

Berita Terkini

10 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Mengalah Bukan Pilihan, Terus Bangkit Demi Keluarga

Kisah Kita Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 29 Nov 2021 12:03PM

Mohamad Nazri Ismail kini menjual air nira kelapa di FELDA Bukit Sagu, Kuantan.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUANTAN - Tidak ramai individu memiliki semangat untuk bangkit, khususnya selepas berkali-kali perniagaan diusahakan berakhir dengan kekecewaan.

Namun, bagi Mohamad Nazri Ismail, 42 tahun, dia tidak menjadikan setiap kegagalan sebagai alasan untuk berhenti daripada terus mencuba.

“Saya tidak mempunyai latar pendidikan tinggi, tapi mengalah setiap kali ‘jatuh’ dalam perniagaan bukanlah perkara yang harus wujud dalam kamus hidup.

“Semua yang saya buat adalah untuk isteri, Sanisah Mohamed dan tiga anak kami yang berusia antara 14 hingga 21 tahun, mereka tidak pernah berhenti memberikan sokongan dan membantu saya sejak 25 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di FELDA Bukit Sagu, dekat sini.

Berkongsi pengalaman sepanjang bergelar usahawan, Mohamad Nazri berkata, dia pernah memperoleh pendapatan mencecah lima angka sebulan hasil usahasama dengan syarikat menjual pelbagai barangan kelengkapan rumah.

Dia yang kini mengusahakan jualan air nira kelapa bagaimanapun mengambil keputusan untuk berhenti daripada meneruskan kerjasama dengan syarikat terbabit berikutan ingin mencuba perniagaan sendiri.

“Pada awalnya saya cuba memelihara lembu. Daripada enam ekor, bilangan itu terus bertambah hingga lebih 100 dan apabila jumlah lembu dimiliki terlalu banyak hingga sukar untuk saya jaga (pantau) seorang diri, saya minta tolong kawan untuk bantu.

“Namun, ia tidak bertahan lama selepas beberapa ekor lembu dijual tanpa pengetahuan saya oleh individu tertentu. Bagi mengelak daripada berlaku masalah lain, saya buat keputusan untuk menjual semua lembu itu dan hasilnya saya buat modal untuk buka kedai menjual peralatan memancing,” katanya yang masih memiliki tujuh ekor lembu dan dijaga oleh penduduk kawasan tanah rancangan itu.

Sanisah Mohamed sedang mengisi air nira kelapa ke dalam botol sebelum disimpan dalam peti sejuk beku.
Sanisah Mohamed sedang mengisi air nira kelapa ke dalam botol sebelum disimpan dalam peti sejuk beku.

Mohamad Nazri bagaimanapun mengambil keputusan menutup kedai menjual peralatan memancing selepas kira-kira dua tahun beroperasi selepas berdepan beberapa isu dengan pembekal.

“Susah bila ‘supplier’ mula 'bermain harga' dengan kita, dengan kedai lain dia jual pada harga lain, dengan kita dia letak harga tinggi, dan saya tidak dapat memperoleh keuntungan sepatutnya.

“Daripada terus menanggung rugi, baik saya tutup kedai dan fokus dengan perniagaan diusahakan sendiri,” katanya yang menanggung kerugian kira-kira RM100,000 apabila menutup kedai berkenaan. 

Mohamad Nazri memberitahu, dia mula mengusahakan perniagaan air nira kelapa sejak Mac tahun lalu dan bersyukur kerana pendapatan yang diraihnya agak lumayan.

“Saya belajar dari Youtube dan sebelum saya mulakan perniagaan ini, isteri banyak memberi pandangan. Dari situ kami cuba mencari formula bersesuaian bagi memastikan kualiti air nira dihasilkan dapat memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Buat masa ini, saya memiliki kira-kira 100 pokok kelapa jenis pandan yang sangat sesuai dijadikan air nira.

“Kesemua nira itu dituai dua kali sehari iaitu pada waktu pagi serta petang dan jumlah diperoleh itu cukup untuk menampung permintaan kedai sekitar Kuantan,” katanya.

Mohamad Nazri berkata, dia menyediakan 25 peti sejuk beku yang ditempatkan di kedai runcit sekitar bandar raya ini dan setiap peti mampu memuatkan 100 botol air nira kelapa.

Katanya, permintaan terhadap air nira juga sangat menggalakkan dan meningkat mendadak setiap kali bulan Ramadan kerana minuman itu memiliki rasa unik, selain dapat menghilangkan dahaga dengan cepat.

“Ada pelanggan dari Jerantut dan Kuala Lumpur yang selalu menempah air nira dari saya, tapi kadang-kala terpaksa ditolak kerana faktor bekalan. Lagipun saya buat seorang diri, panjat pokok dan kutip air nira, sebelum dibotolkan dengan bantuan isteri untuk disimpan dalam peti.

“Saya turut memudahkan peniaga (kedai runcit) menjual air nira yang saya buat, peti ais disediakan dan bil elektrik kedai mereka juga saya tolong bayarkan, jadi kita sama-sama dapat untung,” katanya.

Setiap botol air nira kelapa dijual pada harga RM4 dan selain air nira untuk diminum, Mohamad Nazri turut memproses air nira bagi dijadikan cuka yang turut mendapat permintaan daripada pelanggan setianya. – Getaran, 29 November 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Warga Emas Maut Dihempap Pokok

2

Semasa 2 minggu yang lalu

Op Global: 171 Ditahan Bantu Siasatan Eksploitasi Kanak-kanak, 402 Mangsa Diselamatkan

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Polis Rampas Peralatan Darjah Kebesaran Palsu Daripada Pengarah Syarikat Telekomunikasi

4

Usahawan 3 bulan yang lalu

Kedai Kopi Jalan Ampas Imbau Nostalgia Filem Melayu Lama

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara