ALOR SETAR - Sekitar 35 tahun lalu, N. Rajaram hanyalah seorang 'budak' pencuci pinggan di sebuah hotel di Singapura.
Beliau ditugaskan mencucui pinggan oleh pengurus hotel berkenaan setelah beliau didapati tidak fasih berbahasa Inggeris ketika temuduga kerja.
Ketika itu usianya baru mencecah 20 tahun. Tetapi berkat usaha dan kerja kerasnya untuk menambah ilmu, anak kelahiran Sungai Petani itu yang kini sudah berumur 52 tahun akhirnya berjaya mendaki tangga demi tangga hingga kini bergelar Pengurus Besar Hotel Grand Alora yang merupakan sebuah daripada hotel terkemuka di Alor Setar.
Menceritakan kisah hidupnya, anak ketiga dari lima beradik itu memaklumkan yang beliau terpanggil untuk merantau ke Singapura setelah melihat rakan-rakan lain memperolehi pendapatan lumayan hasil bekerja di Kota Singa itu.
"Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1988, saya bekerja di sebuah restoran makanan segera. Selepas setahun, saya kemudiannya nekad merantau ke Singapura berbekalkan wang RM100, hasil gaji dari restoran makanan segera tersebut.
"Ketika menaiki bas ke Singapura, saya cuma membawa dua helai baju dan dua seluar. Saya tiba pada hari Jumaat dan disebabkan itu, saya terpaksa tidur di tepi bangunan serta mandi di medan selera berhampiran kerana tidak mempunyai tempat berteduh pada Sabtu serta Ahad.
"Hendak menumpang di penempatan rakan di sana pun tak boleh kerana masih belum diambil bekerja. Hanya pada hari Isnin, barulah saya ditemuduga dan setelah sah diterima bekerja sebagai pencuci pinggan, dapatlah saya tinggal di penempatan tersebut," katanya.
Mengulas lanjut katanya, Rajaram bekerja sebagai pencuci pinggan selama dua tahun sebelum memohon daripada pengurusnya untuk menyambung pengajian dalam bidang pengurusan hotel di sebuah pusat pengajian di Singapura.
Begitu pun katanya, beliau berdepan dilema bagi mengorbankan hari kerjanya untuk ke kelas kerana tindakan sedemikian akan menyebabkan pendapatannya berkurangan.
Katanya, ketika itu beliau baru saja membeli rumah untuk keluarga di kampung bagi memberi lebih keselesaan kepada ayah, A. Nagoo; ibu, M. Kaliamal dan adik-beradik lain.
"Pada masa itu, ayah baru pencen sebagai pemandu ambulans manakala ibu pula tidak bekerja. Setelah lama tinggal di kuarters, saya belikan mereka rumah baharu bagi memberi lebih keselesaan untuk menjalani hari tua.
"Maka untuk membayar ansuran bulanan rumah dan menyara hidup, saya perlu mengekalkan jumlah pendapatan harian walaupun ketika belajar. Ketika itulah datangnya ihsan dari pengurus hotel tempat saya bekerja yang membenarkan saya untuk bekerja syif malam," katanya.
Rajaram berkata, dengan ihsan 'bosnya' itu, beliau dapat mengikuti kelas sebagai pelajar bermula jam 8.40 pagi hingga 5.30 petang sebelum melapor diri untuk bekerja pada jam 6.30 petang hingga 3 pagi.
"Selepas dua tahun menjalani kehidupan begitu, saya akhirnya berjaya mendapatkan sijil sebelum melanjutkan pula pelajaran bagi mendapatkan diploma.
“Selepas melalui beberapa lagi sesi akademik dan kursus, kerjaya saya dalam bidang ini juga semakin meningkat daripada pencuci pinggan kepada pelayan, 'kapten' restoran, pengurus khidmat makanan dan minuman (F&B) hinggalah diberi kepercayaan memasuki bahagian pengurusan tertinggi di lain-lain hotel," katanya,
Tambahnya, setakat ini beliau telah berkhidmat di 16 hotel antaranya di Singapura, Myanmar, Bangladesh, India dan China, sebelum kembali berkhidmat di beberapa hotel terkemuka tanah air.
"Daripada seorang pencuci pinggan, saya pernah diberi kepercayaan mengetuai projek khas di hotel luar negara. Apa yang hendak saya kongsikan adalah, sebagai manusia kita tidak boleh berputus asa dan perlu sentiasa belajar bagi memajukan diri,
"Sebagai seorang yang bermula dari bawah, banyak selok-belok dalam bidang ini yang pernah saya lalui dan itu membantu dalam melaksanakan tugas terutamanya berkaitan dengan emosi manusia. Saya faham apa cabaran dilalui kakitangan dan pengalaman-pengalaman lampau banyak mengajar saya untuk menangani masalah dihadapi mereka," katanya.
Ditanya nasihatnya kepada golongan muda yang masih tercari-cari arah dalam kehidupan, Rajaram yang juga bapa kepada tiga anak meninggalkan pesanan berikut.
"Ramai yang bermimpi tetapi mimpi itu cuma satu perkataan. Kalau nak jadikan mimpi sebagai kenyataan, perlu ada usaha dan jangan pernah malu untuk bertanya kalau tak faham sesuatu perkara.
"Kalau dah sampai satu peringkat yang mana kita ini berilmu dan berpengalaman, jangan pula lupa untuk mengambil tahu tentang perkembangan teknologi semasa.
“Semakin lama, daya saing makin hebat dan kita perlu sentiasa mencari jalan untuk tampil berbeza bagi memberikan khidmat terbaik kepada mana-mana pihak yang memerlukan khidmat kita," katanya. – Getaran, 4 Disember 2023.