Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


MH17 Dorong Dr Rabi’ah Adawiyah Sertai Forensik Pergigian

Kisah Kita Dikemaskini 1 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 24 Apr 2024 4:50PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tragedi MH17, pesawat Malaysia Airlines yang ditembak jatuh di Ukraine pada Julai 2014, mengukuhkan minat Dr Rabi'ah Adawiyah Rahmat untuk menceburi bidang forensik pergigian, sekalipun sedar kerjaya itu turut bermakna bekerja dengan mayat yang menuntut kecekalan hati.

"Bukan semua orang berani nak belek rangka tulang yang sudah hangus akibat terbakar, ataupun tengkorak yang hancur. Namun, setelah hampir 10 tahun dalam bidang ini,saya sudah lali," kongsinya kepada Bernama. 

Merupakan seorang daripada 15 pakar forensik pergigian di negara ini, Dr Rabi'ah, 37, berkata tragedi MH17 membuka matanya yang ketika itu bergelar pegawai pergigian, tentang kepentingan bidang tersebut, khususnya bagi mengenal pasti identiti mangsa yang meninggal dunia dalam keadaan tragis termasuk akibat perbuatan jenayah.

"Bayangkan jika mangsa dipukul dengan teruk di kepala sehingga menyebabkan kematiannya... sudah tentu mereka tidak dapat bercakap bagi membela diri mereka. Jadi, dengan kepakaran yang kita ada, kita akan cuba mengenal pasti (mangsa) berdasarkan gigi.

"Sekalipun mungkin ada yang melihat profesion ini mengerikan, saya bersyukur kerana perkhidmatan yang ditawarkan dapat membantu pihak berkuasa seperti polis dalam siasatan mereka dan juga keluarga mangsa," katanya, menambah hingga kini beliau telah mengendalikan ratusan kes sedemikian. 

Terbuka Mata

Dr Rabi'ah yang memperoleh ijazah doktor falsafah dalam forensik pergigian daripada University of Adelaide, Australia, berkata beliau mendalami bidang itu semasa berada di bawah bimbingan pakar forensik pergigian pertama di Malaysia, Prof. Dr Phrabhakaran Nambiar di Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM).

"Selepas menamatkan pengajian Sarjana Muda Pembedahan Pergigian di Vinayaka Missions University, India pada 2011, saya kembali ke Malaysia dan ditempatkan di Kementerian Kesihatan selaku pegawai pergigian. Selepas dua tahun di situ, pada 2013, saya berpindah ke Fakulti Pergigian UM. 

"Apabila tragedi MH17 berlaku, Dr Phrabhakaran memberi peluang kepada saya untuk terlibat, membantu mengenal pasti mangsa," katanya.

MH17 adalah bencana tertutup (closed disaster) pertama saya, membuka mata saya seluas-luasnya tentang bidang perubatan yang amat jarang disebut ini," ujarnya lagi, menambah selepas itu beliau menyambung pengajian di University of Adelaide.

Berkongsi pengalaman membantu dalam mengenal pasti mangsa MH17, Dr Rabi'ah berkata beliau bersama-sama pakar lain dari pelbagai negara, ditempatkan dalam pasukan mengecam mangsa bencana atau Disaster Victim Identification (DVI) yang menjalankan pramortem (ante-mortem) dengan menganalisis rekod pergigian mangsa.

Untuk rekod, tragedi itu berlaku pada 17 Julai 2014 ketika pesawat tersebut yang membawa 283 penumpang dan 15kru, dalam penerbangan dari Armsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur. Pesawat berkenaan yang ditembak dengan misil berpandu dilaporkan meletup dan terputus dua di udara sebelum terhempas, mengorbankan kesemua penumpang dan kru. Tiga puluh daripada mereka adalah rakyat Malaysia.

Menurut Dr Rabi'ah, antara cabaran utama pasukan DVI lazimnya ialah mengumpulkan segala maklumat dan rekod pergigian mangsa. 

"(Namun dalam kes ini) kami amat bersyukur kerana cukup mudah untuk kami dapatkan bantuan daripada klinik pergigian yang mempunyai rekod mangsa. Dalam bahasa mudah, tugas kami adalah seperti memadankan rekod pergigian dengan mangsa berdasarkan data yang diberikan oleh pihak penyiasat.

"Pasukan DVI Malaysia berjaya menganalisis hampir kesemua identiti mayat yang ditugaskan kepada kami," katanya, menambah maklumat tersebut dihantar kepada Polis Antarabangsa bagi tindakan selanjutnya.

Selongkar Tong Sampah

Ditanya tentang kes lain yang meninggalkan kesan kepada beliau, Dr Rabi'ah berkata, pengalamannya membantu pihak berkuasa di Adelaide mengenal pasti identiti satu mayat mangsa pembunuhan ketika menuntut di sana, antara yang masih diingatinya.

"Satu mayat ditemukan di dalam tong sampah, dipercayai dibunuh. Polis kemudian bawa mayat itu untuk dibedah siasat dan kami bantu dengan menjalankan forensik pergigian ke atas mayat. Semasa jalankan pemeriksaan, kami dapati ada sebatang gigi mangsa tercabut selepas kematiannya dan kami percaya gigi yang hilang itu boleh bantu kami kenal pasti mangsa. 

"Selepas dimaklumkan, polis membawa tong sampah tersebut kepada kami. Bayangkan bagaimana kami menyelongkar tong sampah yang berbau sangat busuk dan membelek setiap sampah di dalam tong itu sebelum berjaya menemukan gigi berkenaan.

"Daripada sebatang gigi itu, kami kenal pasti mangsa dan dapat sahkan dia dibunuh," katanya, menambah penglibatannya dalam kes berkenaan adalah keperluan pengajiannya di universiti tersebut.

Menurut Dr Rabi'ah, amnya siasatan menerusi forensik pergigian dapat memberikan keputusan paling cepat dengan kadar kejayaan pengecaman tertinggi berbanding kaedah yang digunakan oleh pakar forensik lain.

Katanya, selain menggunakan rekod pergigian, pengecaman juga boleh dilakukan menerusi asid deoksiribonukleik atau DNA yang ada di dalam gigi.

"Gigi merupakan medium DNA paling kukuh berbanding organ lain seperti kulit, daging ataupun cecair tubuh seperti darah, kerana struktur gigi yang mampu menahan tekanan suhu tinggi selain tidak mudah pecah atau hancur," jelasnya.

Pada masa sama, forensik pergigian turut dilaksanakan dengan bantuan mesin berteknologi tinggi seperti Cone Beam Computed Tomography (CBCT) yeng menyediakan imej tiga dimensi atau 3D. 

"Menerusi CBCT ini, kita boleh anggar umur, menentukan bangsa dan jantina hampir-hampir tepat selain trauma ke atas gigi seperti kesan hentakan dan sebagainya," jelas beliau lagi.

Penggunaan CBCT juga hanya memerlukan sebatang gigi bagi mengeluarkan data yang hampir tepat berbanding kaedah terdahulu yang menuntut satu set sekurang-kurangnya tujuh batang gigi untuk mendapatkan maklumat identiti mangsa.

Ketandusan Pakar

Sementara itu, Dr Rabi'ah berkata, sekalipun peranan forensik pergigian amat penting dalam membantu pengecaman mangsa, di Malaysia hanya ada 15 orang pakar pada masa ini.

Mengakui bidang forensik itu sendiri kekurangan pakar, beliau berkata, hal tersebut mungkin disebabkan oleh keadaan pekerjaan yang memerlukan pakar "dikelilingi" jasad tidak bernyawa, dan kerap kali dalam keadaan mengerikan, membuatkan masyarakat kurang memberi perhatian terhadap kerjaya berkenaan. 

"Saya juga melihat forensik pergigian ini agak 'tersisih' jika dibandingkan dengan bidang forensik lain. Malah, syarat pemberian biasiswa (untuk pengajian forensik pergigian) juga cukup ketat, antaranya pelajar hanya boleh sambung pengajian di universiti yang berkedudukan 50 terbaik dunia.

"Akan tetapi, kursus yang ditawarkan oleh kebanyakan universiti ini pula hanya selama tiga tahun dan tidak cukup untuk mendalami kepakaran," katanya, menambah untuk bergelar pakar juga tidak mudah.

"Di Malaysia, untuk bergelar pakar forensik pergigian, perlu diiktiraf oleh Majlis Pergigian Malaysia yang memerlukan seseorang itu memiliki sekurang-kurangnya ijazah pergigian dan pascaijazah dalam bidang forensik pergigian," jelasnya yang kini berkhidmat di Fakulti Pergigian UM sebagai pensyarah untuk ijazah dasar dan tinggi selain pakar forensik pergigian di Pusat Perubatan UM.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan agar pihak berwajib memberikan penekanan yang lebih terhadap bidang forensik, khususnya pergigian, agar negara tidak berdepan isu kepakaran apabila keadaan memerlukan. 

Beliau juga percaya penekanan yang diberikan oleh kerajaan terhadap bidang itu akan membantu mengubah tanggapan masyarakat, sekali gus menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi lapangan forensik, terutamanya wanita berikutan jumlah kaum Hawa yang bergelar pakar forensik masih terlalu kecil.

“Alhamdulillah, keluarga saya amat menyokong kerjaya saya. Saya sendiri ada seorang anak perempuan yang kini berusia setahun, dan saya akan galakkan dia mengikuti jejak langkah saya (sebagai pakar forensik pergigian)," katanya. - BERNAMA

Sorotan

1

Kabinet Belum Bincang Kenaikan Harga Petrol Dan Diesel, Laporan Media Asing Tidak Betul – Fahmi

2

Pemohon Rayuan Haji Sudah Mula Terima Jawapan

3

TPM Ingatkan Sanusi Jangan Melalut Malam Ini

4

El Nino: Bekalan Lembu, Kambung Korban Mencukupi – Mohamad

5

Mangsa Skim Pelaburan Penipuan Berisiko Hilang Hak Untuk Pulih Kerugian – JSJK

6

SPRM Terima Beribu-ribu Dokumen Semasa Siasatan Kes 1MDB – Pegawai Penyiasat

Disyorkan untuk anda

Kisah Kita 1 hari yang lalu

Mudik Sungai Pahang, Imbau Sejarah Jalan Sungai