web statsweb stats

Berita Terkini

14 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Asam Rong, Penambat Selera Dari Jerantut

Kisah Kita Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Jun 2021 8:28AM

Zaharah menunjukkan bahan-bahan utama yang diperlukan untuk memasak gulai asam rong yang popular di Pahang Barat.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

JERANTUT - Pernahkah anda mencuba gulai biji getah yang sangat popular di Pahang Barat? 

Jika belum, selepas berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebaik sahaja kerajaan membenarkan anda merentas negeri, bolehlah berkunjung ke daerah Jerantut yang sememangnya terkenal dengan gulai asam rong, sejenis juadah  menggunakan biji getah sebagai bahan utamanya. 

Sekilas info mengenai tanaman getah atau nama saintifiknya Hevea Brasiliensis, ia mula ditanam di negara ini sekitar tahun 1877 di Kuala Kangsar, Perak. 

Pokok getah kemudiannya diusahakan pada skala besar dengan pembukaan estet pertama di Melaka antara tahun 1902 hingga 1903, sebelum diperluaskan ke seluruh negara selepas itu. 

Pernah dilabel sebagai pokok serba guna, pokok getah bukan sahaja menghasilkan susu getah yang menjadi antara komoditi terpenting negara, bahkan hampir setiap setiap inci tanaman itu boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan. 

Batang pokok getah sebelum ini pernah menjadi buruan untuk industri perabot, manakala daunnya pula digunakan sebagai pembalut tapai dan turut dijadikan hasil kraftangan menarik. 

Zaharah sedang memasak gulai biji getah.
Zaharah sedang memasak gulai biji getah.

Penggunaan biji getah dalam masakan gulai asam rong pula memerlukan kemahiran tertentu yang hanya dimiliki penduduk sekitar Jerantut dan daerah lain di Pahang Barat. 

Keistimewaan gulai asam rong adalah kerana ia dihasilkan menggunakan biji getah  yang ditumbuk halus dan diperam hingga bertukar warna, daripada putih kepada coklat kehitaman.

Hidangan ini sangat membangkitkan selera jika dimasak pula bersama ikan kenerak, iaitu spesies ikan sungai berkulit tebal dan bertompok, yang turut popular dengan gelaran ikan komando. 

Asam rong dari biji getah boleh bertahan berbulan-bulan lamanya jika diletakkan dalam bekas kedap udara dan disimpan dengan cara yang betul. 

Seorang tukang masak gulai asam rong tersohor di Jerantut, Zaharah Sohar, 61 ketika ditemui mengakui masakan itu bukan sahaja digemari penduduk setempat, tapi turut menjadi pilihan peminat ikan sungai dari luar daerah dan negeri Pahang. 

"Gulai asam rong ini jika dimasak dengan ikan lain kurang menjadi, kerana mudah hancur berbanding ikan kenerak yang isinya lebih pejal. 

"Penyediaan bahan untuk memasak gulai asam rong juga agak rumit dan memakan masa, kerana jika ia tidak dimasak dengan sempurna, boleh mengakibatkan sakit perut,” katanya kepada Getaran.

Warga emas itu berkata, antara keunikan lain gulai asam rong ialah bahan tambahannya yang terdiri daripada campuran  cili padi dan pelbagai jenis ulaman termasuk pucuk paku, terung manggur, terung telunjuk, keladi, bunga kantan, daun kesum, kacang botol,  jering, petai dan keledek. 

"Paling istimewa ialah tahap kepedasan gulai asam rong, bukan pedas yang biasa biasa tetapi menyengat. Tak pedas tak sedap. Lagi pedas, lagi orang suka," katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Mak Anjang. 

Gulai biji getah yang siap dimasak.
Gulai biji getah yang siap dimasak.

Menurut Mak Anjang, gulai asam rong paling sesuai dimakan bersama nasi putih panas dan ulaman yang dicicah pula dengan sambal tempoyak. 

Seorang lagi pakar gulai asam rong, Naimah Mat Addin, 55, dari Kuala Tembeling pula berkata, tempoh untuk menyiapkan gulai itu agak lama berbanding masakan lain.  

"Asam rong perlu ditumbuk bersama kunyit dan cili padi, perlu dimasak dahulu hingga mendidih menggunakan api sederhana sebelum dimasukkan ikan. 

"Apabila ikan sudah masak, barulah kita masukkan sayuran seperti pucuk paku, keledek, terung pipit, terung telunjuk, keladi, kacang botol, jering dan garam secukup rasa," katanya yang kini sedang melatih anaknya, Nor Fatihah Mohd Sabirin untuk menguasai teknik memasak gulai asam rong yang betul. 

Naimah berkata, tidak ada petua khusus untuk menghasilkan gulai asam rong yang sedap kerana perkara paling utama ialah asam rong itu perlu diperam dengan baik dan menambahkan cili padi sebanyak mungkin untuk meningkatkan kepedasan mengikut selera masing-masing. - Getaran, 14 Jun 2021


 

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Warga Emas Maut Dihempap Pokok

2

Semasa 2 minggu yang lalu

Op Global: 171 Ditahan Bantu Siasatan Eksploitasi Kanak-kanak, 402 Mangsa Diselamatkan

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Polis Rampas Peralatan Darjah Kebesaran Palsu Daripada Pengarah Syarikat Telekomunikasi

4

Semasa 6 bulan yang lalu

Tiada Kegiatan Hidupkan Semula Ajaran Ayah Pin Dikesan Di Pahang

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara