Isu penjawat awam tidak angkat telefon sekali lagi menjadi isu yang dibangkitkan di Dewan Rakyat.
Kali ini ianya diutarakan oleh Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Loon dimana pertanyaan beliau dijawab oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata beliau memandang serius isu ini dan akan memastikan ianya diselesaikan untuk manfaat orang ramai.
Pokoknya, tidak akan ada khidmat jikalau tiada komunikasi.
Penjawat awam memainkan peranan utama sebagai jentera pentadbiran kerajaan.
Jika tiada komunikasi, yang mentadbir tidak akan tahu-menahu tentang masalah yang dihadapi rakyat dan rakyat pula tidak akan mendapat jawapan kepada pertanyaan mereka.
Masalah yang diutarakan Kui Loon sebenarnya merupakan masalah harian untuk mereka yang bergelar wartawan.
Kami memang sudah cukup masak dengan orang kenamaan termasuk menteri dan penjawat awam yang sering tidak mengangkat telefon, menjawab e-mel, mesej WhatsApp dan juga SMS.
Sebenarnya isu ini sudah lama timbul, dan bukan hanya wujud tatkala penjawat awam mula bekerja dari rumah akibat COVID-19.
Ibarat mencurah air ke daun keladi, ada kes di mana nombor telefon bimbit pegawai diberi, namun ianya tidak akan terjawab walaupun berkali-kali cuba dihubungi.
Hampir dua dekad, penulis menjadi wartawan, dan memang banyak alasan yang diberi apabila ditanya kenapa telefon tidak diangkat.
Sedekad lalu, seorang pegawai perhubungan awam dari sebuah pihak berkuasa tempatan di Selangor memberitahu penulis telefonnya tidak berjawab untuk seminggu kerana tertinggal di dalam kereta!
Penulis juga pernah berurusan dengan seorang bekas menteri yang berkongsi nombor telefon bimbitnya dengan wartawan, tetapi tiada sesiapa dapat menghubunginya kerana beliau menyekat semua panggilan masuk.
Kalau tak ingin dihubungi mengapa berkongsi nombor?
Ada juga satu agensi kerajaan yang mengambil masa enam bulan untuk menjawab pertanyaan yang diajukan penulis melalui e-mel dan ada yang memilih untuk tidak menjawab pertanyaan langsung.
Sewaktu banjir besar di Selangor baru-baru ini, ramai pegawai kerajaan yang tidak menjawab telefon bimbit mereka, walaupun dihubungi Ahli Dewan Undangan Negeri dan juga Ahli Parlimen. Ada yang hanya menjawab telefon hanya di waktu pejabat, dan ini dikatakan atas ‘arahan’ yang diberi agar tidak menjawab telefon di waktu rehat dan selepas waktu pejabat.
Bila menulis tanpa respon, ada yang cepat merajuk. Bila diberitahu sudah banyak kali dihubungi tetapi tiada jawapan, mereka melatah pula.
Cara perkhidmatan seperi ini akan hanya membuatkan rakyat marah dengan kerajaan. Imej pegawai kerajaan dan kementerian dan agensi yang terlibat juga akan turut terjejas.
Agak menghairankan apabila agensi-agensi kerajaan cepat bertindak apabila isu dibangkitkan di media sosial. Ia seolah-olah media sosial merupakan saluran rasmi untuk mengutarakan isu dan bukannya melalui panggilan telefon mahupun e-mel.
Jadi janganlah marah apabila wartawan memilih untuk menulis dahulu tanpa menunggu reaksi dari pihak tertentu.
Jika ini hala tuju baharu oleh kementerian dan agensi-agensi kerajaan, maka sebarang komunikasi melalui telefon dan e-mel patut dimansuhkan.
Nampak gayanya ada sesetengah pihak lebih gemar dimalukan di media sosial daripada menjawab pertanyaan melalui telefon.
Tepuk dada, tanya selera. - Getaran, 7 Mac 2022
Pearl Lee merupakan pengasas bersama dan pengarang urusan portal berita Twentytwo13. Hubungi beliau melalui Twitter @pearllee22 atau emel pearl.lee@twentytwo13.my