Kreativiti, Skil Pertukangan Dan Intelek
“...Of course, there must be subtleties. Just make sure you make them obvious,” ungkap mendiang Billy Wilder, sutradara tersohor Hollywood satu ketika dahulu.
Kesenian atau hasil kreativiti bukan sahaja membentuk identiti luaran malah tersirat di dalamnya pemikiran dan semangat seseorang dan bangsanya.
Untuk menghasilkan kesenian yang tinggi mutunya memerlukan kreativiti, skil pertukangan atau craftsmanship dan intelek atau falsafah yang mahu disampaikan.
Kesenian tinggi tidak akan dihasilkan oleh orang sembarangan dan tanpa sengaja. Sebaliknya terhasil daripada kreativiti dan ketekunan seseorang yang benar benar seniman.
Seperti P. Ramlee dan M. Nasir.
Sama ada menerusi filem atau lagu, hasil kerja mereka bukan sahaja memenuhi piawai skil pertukangan dan diisi dengan tajuk-tajuk pemikiran, malah mereka juga menghiburkan.
Mencari hiburan adalah fitrah manusia. Oleh itu seseorang seniman sama ada pelukis, penyair, pembikin filem atau pelawak, mestilah mempunyai kreativiti yang menarik dan menghiburkan. Kehambaran adalah pembunuh minat.
P. Ramlee dan M. Nasir menghasilkan bahan-bahan yang bersulam dengan mesej dan dipersembahkan dengan menarik.
Antara Dua Darjat, Semerah Padi, Musang Berjanggut, Merah, 'Raikan Cinta', 'Kepadamu Kekasih' adalah di antara lambakan filem dan lagu yang dihasilkan oleh P. Ramlee dan M. Nasir.
Kesemua judul tersebut mempunyai mesej yang hendak disampaikan dan menghiburkan. Justeru hasil kerja mereka terus relevan sehingga hari ini walaupun telah mengharung pelbagai zaman.
Seperkara lagi, seniman mesti mempunyai cita rasa atau taste dan kecanggihan atau sophistication.
Cita Rasa Dan Kecanggihan
Cita rasa membuat seseorang seniman bisa memilih nota muzik atau ayat yang enak di dalam melodi dan framing atau stroke yang cantik di dalam seni visual, di samping mahukan keaslian.
Kecanggihan membuat seseorang seniman bisa mengetengahkan topik-topik pemikiran setempat malah sejagat, serta cukup sensitiviti untuk tidak menyinggung mana mana individu, kelompok bangsa atau agama.
Membentuk cita rasa dan kecanggihan tinggi memerlukan himpunan pendidikan, pergaulan, pengalaman dan pembacaan yang luas.
Di Panggung Wayang
Pembikin dan peminat filem pasti gembira Mat Kilau berjaya mencapai kutipan melebihi RM60 juta di dalam tempoh tiga minggu pertama penayangannya. Sambutan sebegitu diharap dapat menjadi penggalak kepada para penerbit untuk menghasilkan lebih banyak filem.
Begitupun, menonton Mat Kilau adalah pengalaman yang menghampakan.
Filem fantasi arahan Syamsul Yusof yang berdasarkan watak-watak sejarah digarap persis KL Gangster, tetapi bertanjak dan tanpa tattoo. Tahap desibel jeritan watak-watak di dalam KL Gangster dan Mat Kilau juga sama tinggi.
Jalan cerita dan setiap watak dibikin satu dimensi dan cetek. Segalanya tersurat tanpa tersirat. Termasuklah watak satu dimensi protagonisnya, Mat Kilau tidak inspirational atau tidak membangkitkan perasaan dan semangat.
Antagonis atau orang jahatnya, Kapten Syers dan tenteranya, malah setiap watak orang bukan Melayu digambarkan ke bentuk karikatur.
Setiap adegan, lakonan dan ayat mesti gempak atau in your face. Tiada subtlety atau kehalusan.
Skripnya sangat berunsur propaganda dan preachy. Setiap watak berceramah, termasuklah orang jahatnya yang mempunyai pelat Inggeris yang pelik.
Spoiler alert! Termasuklah watak wanita mengandung yang tak mati-mati walaupun disepak, diheret, ditolak jatuh tangga, diheret lagi, dipijak perutnya (seriously!) yang bunting gajah dan akhirnya ditikam perut dengan pedang, masih sempat berceramah ketika sedang nyawa-nyawa ikan.
Yang hebatnya dan bersesuaian sebagai genre filem aksi; setiap adegan kung funya dikoreograf dengan sangat cantik.
Membandingkan filem epik Hanyut arahan U-Wei Hj Saari dengan Mat Kilau adalah seperti langit dengan bumi dari segi kehalusan seninya. Hanyut memiliki taste dan sophistication, craftsmanship dan philosophy.
Tapi, bagaikan langit dengan bumi pula jumlah kutipan tiket filem Mat Kilau dengan Hanyut. Tatkala Hanyut belum tentu balik modal, penerbit Mat Kilau sudah boleh membuat tempahan kereta Bentley serta banglo satu lagi.
Mungkin U-Wei Hj Saari adalah seniman dan Syamsul Yusof adalah pembikin filem Melayu.
Dari segi anugerah, Mat Kilau pasti diundi para juri untuk memenangi banyak anugerah perfileman termasuk Anugerah Filem Terbaik Malaysia.
Tersentuh perihal undi; seperkara mengenai Malaysia, politikus yang terbabit dengan korupsi raksasa juga akan tetap menang dengan undi besar ketika di pilihan raya. Mungkin pada ramai kita, seperti seni; betul dan salah, dosa dan pahala juga adalah perkara subjektif.
Di Kelab Komedi
Tatkala demam Mat Kilau melanda, seorang perempuan Melayu tiba-tiba menyentap perhatian kita menerusi aksi komedirinya.
Bermula dengan berpakaian tudung dan baju kurung, wanita itu kemudian menanggalkannya dan mempamerkan skirt pendek dan pakaian yang menampakkan dadanya. Sememangnya penonton bersorak, tapi tiada yang gelak.
‘Stand-up comedy’ atau komediri adalah sesuatu yang asing dan baru di dalam budaya orang Melayu. Di dalam budaya pementasan jenaka Melayu, ia biasanya dilakukan berkumpulan dan menggunakan prop, serta bersketsa. Kumpulan Senario, Sepahtu dan Shiro, contohnya.
Di negara barat, seorang ‘Stand-up’ adalah seorang pelawak yang berjenaka secara solo berhadapan dan berinteraksi dengan penonton. ‘Stand-up’ mempunyai kesenian yang tersendiri. Kehebatan seorang ‘stand-upper’ adalah pada skrip yang bagus, cepat-akal dan timing yang tepat.
Bukan sembarang orang boleh melakukannya meskipun bermuka hodoh, berbadan bulat atau bergigi jongang. Mendedahkan sebahagian payudara hanyalah pilihan, ?.
Sebaliknya, seorang ‘stand-upper’ mempunyai intelek tinggi. Contohnya George Carlin, Richard Pryor dan Steve Martin.
Mereka mampu memperkatakan subjek-subjek yang sensitif dan tabu menggunakan jenaka yang mampu membuat penonton ketawa dan berfikir, sambil tidak menghina atau menjatuhkan maruah orang perseorangan atau sesuatu kaum.
Kreativiti mereka mempunyai cita rasa, kecanggihan, intelek dan falsafah untuk dipersembahkan kepada masyarakat dan rakyatnya, malah seluruh dunia.
Aku beberapa kali menonton klip video Siti Amira Abdullah, iaitu wanita yang menanggalkan tudung dan baju kurungnya ketika di pentas komedi.
Aku cuba mencari kreativiti dan memahami apa kebijaksanaan yang cuba beliau persembahkan tetapi gagal menemui apa-apa. Malah, aku juga tidak menjumpai apa-apa yang lucu selain gempak dan gambit murahan.
Mungkin aku bengap dan kolot.
Sebagai penutup, aku akan cuba menulis skrip jenaka untuk aksi ‘stand-up’ di sesi ‘open mic’. Kalau tak kelakar, diharap jangan gelak. Atau mungkin boleh bagi kepada Yusof Haslam untuk digunakan dalam drama 'Gerak Khas'. Skrip ini tiada kena mengena dengan yang hidup atau mati.
“Tiga lelaki masuk bar.
Yang Melayu nama Daniel Aiman Zinedine Ramadani Bin Endut. Yang Cina nama Wong Chi Piau alias Jupiter Wong Chee Piaw dan India pulak namanya Satesh Namasivayam Anak Lelaki Ananda Kumar.
Mereka baru habis shooting video Hari Kebangsaan 2022 untuk siaran RTM. Of course, temanya 'Keluarga Malaysia'.
Dalam video tu, masing masing pakai baju tradisional masing masing dan sama sama nyanyi sambil senyum-senyum mesra pada kamera, goyang-goyang badan dan bersalam-salam macam Hari Raya.
Liriknya berbunyi;
Kita Keluarga Malaysia! (diikuti countermelody sorakan 'Kuarga Mesya!')
Kita bersatu, teguh bersama! (diikuti sorakan 'Teguh Bersama!')
Muhibah! Muhibah! Muhibah! (diikuti jeritan yang meningkat satu octave 'Moo... Heee... Baaaah!')
Cuba teka nama nama watak mereka?
Ali, Ah Kaw dan Mutusami.”
Hmmm, tak jadilah.
Tak sophisticated dan tak kelakar langsung. - Getaran, 20 Julai 2022