web statsweb stats

Berita Terkini

7 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Kisah Anak Gen X: Kembara Ke Tanah Suci, Dulu Dan Kini

Kolum Dikemaskini 3 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 14 Jun 2024 4:57PM

Jemaah haji semasa era 70-an - Gambar Wikimedia Commons

oleh

M.Zulkifli

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Masuk saja bulan Zulhijjah, media sosial dibanjiri pelbagai pengisian bermanfaat berkaitan ibadah haji dan korban. Antara konten yang membuat aku terpegun menontonnya adalah video perjalanan jemaah haji pada tahun 1970-an. 

Kembara mereka bermula dengan lambaian sayu kepada ahli keluarga di pelabuhan sebelum menaiki kapal. Keadaan di dalam kapal pula kelihatan agak sempit, panas dan tidak begitu selesa. Makanan dan minuman pula terhad. Lebih mencabar, adakalanya cuaca di tengah laut berubah menjadi sangat buruk dan menakutkan!

Menonton video arkib yang cukup berharga ini mengingatkan aku kepada perjalanan haji Allahyarhamah nenek, Rafeah Abdul Jalil. Tak ingat tahun yang sebenarnya, tapi sudah pasti era 70-an juga kerana ketika itu aku masih lagi kecil.

Yang aku ingat, nenek telah bertolak ke Jeddah dengan menaiki kapal, dan perjalanannya akan memakan masa beberapa minggu. Kami juga tidak tahu tarikh sebenar beliau akan kembali ke tanahair. Dari bacaan aku sekarang, biasanya perjalanan Haji dari Singapura dan Malaysia bermula dari bulan Ramadan lagi. Lama tu!

Menarik juga, terdapat dalam simpanan keluarga kami sekeping gambar hitam putih Allahyarhamah nenek memakai jubah hitam dan mengenakan cermin mata gelap dengan bingkai yang bentuknya tajam di tepi yang biasa dipakai orang zaman itu. Jangan gelak, tapi aku rasa nenek aku kelihatan sangat cool berketrampilan sebegitu!

Hari kembalinya beliau dari Tanah Suci, rumah keluarga kami sesak dengan saudara-mara dan jiran sekampung. Yang paling aku ingat adalah perasaan berdebar apabila disuruh meneguk air Zam Zam yang dibawa pulang. Tidak seperti sekarang, rasanya memang payau dan agak ganjil. Aku juga dihadiahkan seutas gelang bewarna hitam yang dikenali sebagai “gelang Mekah”.

Itulah pengenalan kepada Rukun Islam yang kelima buat diriku sendiri. Namun, walaupun tertanam azam di dalam hati untuk satu hari nanti menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, aku sering membayangkan betapa penuh ranjaunya perjalanan itu sendiri. Kalau mabuk laut, macam mana? Kosnya pula mesti tinggi. Berapa lama agaknya perlu menabung untuk menampung semua perbelanjaan itu nanti?

Itulah antara persolan dalam diriku yang masih kecil dan mentah ketika itu.

Alhamdulillah, selari dengan peredaran zaman, kembara ke Tanah Suci kini tidak lagi serumit dulu. Perjalanan ke Mekah mahupun Madinah mengambil masa kurang dari 10 jam dengan kapal terbang. Tempat penginapan pun begitu banyak tersedia, daripada yang biasa-biasa ke hotel bertaraf lima bintang. Semuanya boleh ditempah secara pakej melalui ejen-ejen pelancongan yang ada. 

Sampai di sana, komunikasi dengan keluarga tidak lagi akan terputus. Setiap langkah dan perbuatan boleh dikongsikan dengan semua. Nak buat ‘live’ pun boleh. Hilang sudah sebarang rasa risau dan bimbang. 

Biarpun menunggu giliran untuk ibadah haji itu sendiri mungkin mengambil masa yang lama, umat Islam di Malaysia bebas untuk ke umrah mengikut masa dan kemampuan masing-masing. Jemputan Ilahi yang sentiasa dinantikan, kini dapat dipenuhi dengan tahap keselesaan yang nenek moyang kita tidak pernah rasa.

Kali pertama aku sendiri menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk ibadah umrah adalah pada tahun 2013 bersama rombongan kakitangan Media Prima. Suatu pengalaman yang luar biasa dan cukup bermakna buat hamba Allah ini.

Umrah kali pertama pada 2013.
Umrah kali pertama pada 2013.

Perasaan ketika mendarat di Lapangan Terbang Jeddah begitu sukar untuk digambarkan. Syukur tak terhingga bercampur dengan sedikit gementar dan keterujaan yang tak pernah dirasai sebelum ini.

Berjalan kaki dari hotel ke Masjidil Haram sambil membaca doa talbiyah dengan penuh emosi, aku masih ingat ramai yang dah mula merasa sebak. 

Sebaik saja menjejakkan kaki ke Masjidil Haram yang begitu memegunkan, hatiku mula berdegup kencang dan air mata mula bergenang dengan setiap langkah menghampiri Kaabah. 

Dan saat akhirnya aku berdiri di hadapan Kaabah dan menatap Rumah Allah ini dengan mata kepalaku sendiri, aku terasa begitu kerdil. Aku menadah tinggi tangan memohon ampun dan rahmat dari Allah yang Maha Esa. Momen itu seribu kali lebih indah dan menakjubkan dari yang pernah aku bayangkan. 

Seterusnya, aku merasa begitu sukar untuk menenangkan hatidan mengawal air mata sepanjang melakukan tawaf. Mujur ada mutawif yang membantu dalam membaca doa dan mengira pusingan. 

Beberapa hari kemudian, aku mengalami satu kejaiban. Ketika membuat tawaf sunat pada awal pagi itu, aku ternampak seorang wanita yang wajahnya serupa dengan Allahyarhamah ibuku. Aku tergamam, tapi terasa rindu buat ibuku yang ditanggung sekian lama sedikit terubat ketika itu. 

Sememangnya, pengalaman kembara umrah pertama itu cukup istimewa, dan aku pulang dengan hati yang sarat rasa syukur dan penuh keinsafan. 

Setahun yang lalu pula, aku direzekikan untuk kembali ke Tanah Suci. Banyak yang telah berubah serta penambahbaikan yang berjaya dilaksanakan. Aku teruja dengan kebanjiran jemaah dari seluruh dunia yang jumlahnya menandingi musim haji. Tidak menghairankan kerana ramai yang sebelum ini terpaksa menangguhkan perjalanan ke Haramain kerana pandemik COVID-19. 

Untuk musim Haji tahun 1445H ini, kita boleh lihat sendiri persiapan yang begitu rapi dan profesional dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi untuk menampung lebih 2 juta Duyufurrahman. Dan selain daripada kemudahan asas yang tip-top semuanya, ada juga kemudahan berteknologi tinggi baharu diperkenalkan termasuk pembantu robot yang berkuasa AI dan teksi terbang. 

Alhamdulillah, beberapa rakan baik aku juga telah terpilih menjadi tetamu Allah tahun ini. Semoga kalian dikurniakan Haji mabrur, dan jangan lupa untuk mendoakan kami di tanah air! Insya-Allah. - Getaran, 15 Jun 2024

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 3 bulan yang lalu

Kena Masuk Kelas Memandu Ni!

2

Luar Negara 3 bulan yang lalu

Hujan Rahmat Di Mina

3

Selebriti 3 bulan yang lalu

Selebriti Popular Tanah Air Yang Dijemput Menjadi Tetamu Allah Tahun Ini

4

Video & Galeri 3 bulan yang lalu

Canggih! Robot AI Fasih Pelbagai Bahasa Untuk Jemaah Haji

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara